MENDAKWA difitnah, penyanyi Zehra Zambri mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan (LOD) terhadap suami, Nur Mohd. Iqwan Samsudin.
Zehra berkata, kenyataan negatif yang dikeluarkan lelaki itu mengenai dirinya ketika proses perceraian mereka sedang berlangsung mengaibkan dan mencalarkan reputasinya.
“Saya kesal dengan tindakan suami yang memilih menjadikan isu rumah tangga kami sebagai bahan tatapan umum melalui pelbagai platform media sosial dan portal hiburan.
Tindakan tersebut bukan sahaja mengaibkan saya sebagai isterinya, tetapi juga memberi kesan buruk terhadap reputasi serta kerjaya saya sebagai anak seni.
“Sehubungan dengan itu saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan Surat Tuntutan kepada suami sebagai langkah awal sebelum tindakan undang-undang selanjutnya diambil berhubung fitnah dilemparkan,” katanya dalam InstaStory.
Dalam masa sama, bekas peserta program Gegar Vaganza (GV) 11 itu juga mendedahkan kenyataan disebarkan Mohd. Iqwan turut menjejaskan emosinya selain menjadi bahan kecaman ramai.
Penyebaran fitnah ini telah mengakibatkan saya menerima kecaman melampau, penghinaan serta kata-kata kesat daripada ribuan pengguna media sosial yang terpengaruh dengan kenyataan sebelah pihak.
“Keadaan ini memberi tekanan emosi dan menjatuhkan maruah saya sebagai seorang wanita dan insan biasa,” ujarnya.
Penyanyi lagu Mari Bersama itu turut berharap reputasinya dapat dipulihkan selain netizen tidak lagi menjadikan isu tersebut sebagai bahan sensasi.
Adalah tidak tepat mendakwa menyatakan saya yang memulakan pendedahan kepada umum, sebaliknya kenyataannya telah membuka ruang kepada pelbagai spekulasi dan persepsi awam terhadap saya,” katanya.
Pada 10 April lalu, Zehra hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat bagi prosiding pertama kes perceraian dengan suaminya.
Ketika itu Mohd. Iqwan mendakwa dia menjadi mangsa keganasan isterinya sepanjang perkahwinan mereka.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 11 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM