BELUM sedia mengesahkan perkhabaran kakaknya bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Mei ini, pengurus kepada pelakon Eyka Farhana iaitu Dyba Farhana menegaskan pendekatan itu diambil bagi mengelakkan penyakit ain.
Dyba berkata, berita baik itu akan dihebatkan sendiri Eyka dan tunangnya juga pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid apabila sah bergelar suami isteri.
Buat masa ini saya sebagai adik Eyka belum dapat mengesahkan perkara ini disebabkan beberapa terutama mahu mengelak penyakit ain.
“Harap semua pihak memahami keadaan ini. Insya-Allah mereka sendiri akan kongsikan sebarang perkembangan lanjut,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Ditanya mengenai pemilihan tarikh pernikahan yang didakwa akan berlangsung pada 2 Mei depan serta empat majlis lain di Kedah pada 11 Mei, Dyba enggan mengulas lanjut.
Menurut sumber yang sudah menerima kad undangan, selain majlis berinai, tiga acara persandingan dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur (5 Mei), Kelantan (12 Mei) dan Langkawi (16 Mei) .
Sementara itu, Eyka, 30, juga tidak mengiyakan atau menidakkan mengenai kad undangan yang sudah mula diedarkan sejak beberapa minggu lalu.
Akhyar pula ketika aksi terakhir Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC (KDA) pada Ahad lalu senada dengan tunangnya apabila selesa mengunci mulut.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 4 Ogos tahun lalu malah ramai menjangkakan tarikh pernikahan mereka semakin dekat selepas Eyka atau nama lengkapnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi itu mengadakan ‘parti bujang’ pada Februari lalu. – HIBGLAM