‘Saya bukan kaya, kena bertindak demi lindungi diri, kerjaya’

PERLU melindungi diri dan kerjaya, penyanyi Datuk Nora Ariffin memberi bayangan kemelut rumah tangga dilalui meninggalkan kesan mendalam yang sukar untuk diungkapkan.

Atas alasan itu, Nora atau Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, mengakui terpaksa mengambil langkah memfailkan permohonan perceraian bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

“Kami semua cari makan. Bayangkan jika dalam nasi kita ada orang letak pasir.

“Saya bukan orang kaya, jadi saya kena buat sesuatu untuk melindungi diri saya dan kerjaya saya,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor, hari ini.

Hari ini, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor sekitar pukul 9.30 pagi tadi.

Dia turut hadir bersama anak perempuannya, Puteri Dahlia dan juga peguamnya Sarah Mohd. Ali.

Sebelum ini, menerusi kenyataan media, Nora memaklumkan usaha memulihkan rumah tangganya dengan Dr. Rushdi sudah melalui pelbagai peringkat termasuk sesi pertemuan dan perbincangan bersama pihak terbabit tetapi masih tidak mencapai penyelesaian.

Malah, Nora menegaskan bahawa konflik tersebut telah menjejaskan keselamatan serta merosakkan reputasi sebagai penyanyi yang sudah bergiat lama dalam industri muzik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok