‘Netizen mahu berbual’ – Melissa Cambell tak tersinggung dihujani komen lucah

BERANI mati menggayakan gaun menampakkan bahagian dada ketika menghadiri malam gala filem Blood Brothers: Bara Naga baru-baru ini, pelakon Melissa Campbell menjadi sasaran komen berbaur lucah segelintir netizen.

Kekal tenang dan tidak melatah, Melissa atau nama sebenarnya Melissa Alexander Campbell, 34, enggan ambil pusing kecaman liar yang dilemparkan terhadapnya malah menganggap semua itu sebagai lumrah anak seni.

“Ya memang saya perasan mengenai komen-komen netizen pada gambar tersebut tapi tidak tersinggung pun.

Memang begitulah reaksi bila muat naik hantaran sebegitu. Bila kita pamerkan diri kita, mestilah ada respons.

“Pada akhirnya netizen sebenarnya hanya mahu mulakan perbualan di ruangan komen,” katanya kepada HibGlam.

Pelakon filem Padu itu turut mengakui dirinya bukan jenis cepat terasa apabila dikritik secara terbuka malah sering membalas komen nakal secara bersahaja.

“Tidak, saya tak terasa malah kadang-kadang saya balas dan bersembang di ruangan komen itu.

Saya ada sisi humor dan bukan jenis individu sangat sensitif.

“Suami pun fikirkan perkara sama selain biar netizen sahaja bercakap apa mereka nak cakap,” ujarnya.

Terdahulu, Melissa berkongsi beberapa keping foto ketika menghadiri tayangan perdana filem terbabit dengan menyarung gaun hijau seksi, sekali gus menarik perhatian ramai termasuk lensa kamera.

Namun, hantaran tersebut turut dibanjiri komen berbaur lucah daripada pengguna media sosial yang menganggap gayanya terlalu berani dan mencolok mata.

Untuk rekod, Melissa mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hatinya, Winston Chew pada Oktober tahun lalu.

Pasangan bahagia itu kini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Malekai Chew yang berusia sembilan bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok