“SELEPAS dikurniakan dua cahaya mata, mana tahu mungkin akan bertambah lagi? (anak). Saya tidak ada perancangan keluarga untuk tetapkan jumlah cahaya mata. Lagi ramai, lagi bagus.”
Demikian perkongsian pelakon Emma Maembong yang tidak menolak rezeki jika dikurniakan zuriat ketiga dalam masa terdekat meski baru sahaja melahirkan anak kedua pada Mei lalu.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail ketika ditemui HibGlam berkata, dia sangat gembira selepas dikurniakan cahaya mata keduanya yang diberi nama Shakil Aryan Shah.
Alhamdulillah, saya bersyukur selepas diberikan dua orang cahaya mata. Ramai tahu dari dulu lagi saya memang inginkan anak. Sekarang saya sudah ada keluarga sendiri,” katanya.
Ujar pelakon berusia 31 tahun itu lagi, dia sebenarnya mahu menimang cahaya mata kedua selepas setahun dikurniakan zuriat pertama.
Bagaimanapun Emma tetap bersyukur apabila impiannya itu dimakbulkan oleh Allah SWT selepas putera sulungnya berusia dua tahun.
Sebenarnya saya mahu awal lagi (selang setahun) selepas menimang cahaya mata pertama. Kalau boleh nak jarak setahun-setahun sahaja. Selepas ini kalau hamil lagi, sudah tentu saya sangat gembira.
“Tapi kalau belum ada rezeki, saya akan menunggu,” katanya.
Jelas Emma lagi, dia mahukan ramai anak kerana sudah terbiasa membesar dengan 11 adik-beradik.
“Saya membesar bukan dengan kawan-kawan atau saudara-mara, tetapi dengan adik-beradik yang ramai.
“Saya ada tujuh adik-beradik perempuan dan empat lelaki. Jadi, kami memang rapat. Saya tahu perasaan seronoknya ada adik-beradik untuk bergosip. Kalau susah, adik-beradik juga yang akan tolong kita.
“Adik-beradik juga tidak akan tikam belakang sebab mereka darah daging kita,” katanya.
Emma yang ditemui semasa sidang media drama bersiri One Million Dollar Voice, semalam berkata, di awal perkahwinan dia menangis kerana berasa sunyi berikutan tinggal berdua dengan suaminya, Muhammad Shazli Azhar.
Masa mula-mula berkahwin, saya menangis sebab sunyi. Orang lain mungkin serabut kalau bising, tapi saya tidak suka sunyi.
“Saya suka suasana serabut terutama suara budak-budak sebab dah terbiasa daripada kecil hidup riuh,” katanya yang akan membawa bersama anak-anak ke set penggambaran kerana enggan meninggalkan mereka di rumah.
Emma yang juga pelakon drama Nusyuz Berkiblat Cinta itu mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Muhammad Shazli Azhar pada 20 Februari 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Shariq yang kini berusia dua tahun dan Shakil Aryan Shah, tiga bulan. – HIBGLAM