Anugerah Seni BOH Cameronian bakal ‘tawan’ universiti

BERTEMAKAN 20 Years of Legacy: Igniting Inspiration for Tomorrow Anugerah Seni BOH Cameronian (BCAA) yang memasuki edisi ke-20 dilihat mahu memperkasakan lagi industri seni pementasan lokal.

Acara tahunan kolaborasi antara BOH Plantations dan Kakiseni tersebut menyaksikan 77 penyertaan dalam 38 kategori meliputi tarian, muzik, teater muzikal dan teater.

Bukan sekadar pengiktirafan kepada pengamal seni, bahkan majlis anugerah itu menjadi pentas untuk merayakan dan menginspirasi masa depan seni persembahan tanah air.

Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen berkata, mereka ingin memastikan seni yang dicipta hari ini terus kekal relevan dan hidup untuk dikongsikan dengan generasi akan datang.

Anugerah ini bukan hanya mengenai penghargaan, tetapi juga tentang memastikan suara dan ekspresi seni kita terus dihargai dan dinikmati semua.

“Bagi edisi kali ini sebanyak 41 produksi dicalonkan dalam beberapa kategori seperti Pelakon Terbaik, Kostum Terbaik dan Penggayaan & Solekan.

“Anugerah ini tidak hanya meraikan pencapaian masa lalu, tetapi memberi cabaran untuk terus berkembang dan memberi impak dalam dunia seni lebih luas,” ujarnya pada majlis pengumuman calon, baru-baru ini.

Tahun ini menyaksikan 77 penyertaan dalam 38 kategori meliputi tarian, muzik, teater muzikal dan teater.

Seiring pencapaian dua dekad, Kakiseni dan BOH Plantations juga menyokong usaha mendorong kreativiti serta inovasi dalam seni persembahan.

Jelajah Universiti

Menurut Low, sebagai tambahan kepada acara penghargaan, program Jelajah Universiti BCAA bakal membawa calon ke universiti terpilih di seluruh Malaysia.

Pelajar berpeluang untuk berinteraksi dengan calon-calon dan menyaksikan pameran interaktif serta sesi perkongsian yang mengupas perjalanan seni Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo pula melahirkan rasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada komuniti seni ini selama dua dekad.

Kami berharap untuk terus menyemarakkan semangat seni persembahan dan memastikan kecemerlangan serta kemampanan seni di masa hadapan,” kongsinya..

Senarai penuh nominasi bagi Anugerah BOH Cameronian boleh layari laman web rasmi di http://www.kakiseni.org/awards atau ikuti media sosial @kakiseni untuk informasi terkini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok