Teater muzikal Qais & Laila dipentaskan di Melaka

KISAH cinta agung yang merentasi zaman, Qais & Laila bakal dihidupkan semula menerusi sebuah pementasan teater muzikal yang dijadualkan berlangsung di Panggung Bangsawan negeri Melaka, 25 Julai ini.

Pertubuhan Teater Negeri Melaka (PERTEM) yang sebelum ini aktif menganjurkan teater seperti Hang Tuah, Hang Lipo dan Tun Fatimah kini tampil mengangkat kisah cinta agung ke pentas menerusi pementasan teater muzikal Qais & Laila.

Pementasan ini dianjurkan oleh PERTEM dengan sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKN Melaka) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Tourism Melaka serta MCorp Corporate Services Sdn. Bhd. (MCS).

Turut bersama sebagai rakan strategik ialah Boolan Trending, Panggung Bangsawan Melaka dan World Youth Foundation.

Diarahkan oleh pengarah terkenal Luqman Aziz, Qais & Laila bakal membawa penonton menyelami perjalanan dua insan yang dihimpit rindu, pengorbanan, ujian dan pencarian makna cinta yang sebenar.

Namun lebih daripada sekadar kisah percintaan, pementasan ini turut menonjolkan perjalanan jiwa, ketabahan emosi dan penyucian hati yang menjadikan karya ini dekat dengan nilai kemanusiaan serta spiritual.

“Melalui olahan yang lebih segar dan kontemporari, teater muzikal ini dirangka bagi memberikan pengalaman pementasan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh perasaan dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

“Kekuatan naratif klasik yang dipadankan dengan susunan muzik yang menyentuh emosi, visual pentas yang memukau, elemen komedi yang menghidupkan suasana serta mesej penghayatan jiwa menjadikan Qais & Laila sebuah karya yang berpotensi menarik perhatian pelbagai lapisan penonton,” kata Luqman.

Tambahnya lagi, pementasan ini juga diyakini mampu menjadi antara pengisian seni yang signifikan dalam memperkukuh ekosistem teater tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi kreatif dan pelancongan negeri.

“Dengan sokongan pelbagai pihak, Qais & Laila diharap bukan sahaja menjadi sebuah karya seni yang berkualiti, malah berupaya memperluas apresiasi masyarakat terhadap seni persembahan tempatan dan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik pada masa hadapan,” jelasnya.

Qais & Laila menampilkan pelakon baharu, Syahir Syafein sebagai Qais manakala watak Laila pula bakal digalas oleh pelakon dan penyanyi, Isyariana.

Turut sama menjayakan teater muzikal ini ialah pelakon berpengalaman, Datuk Jalaludin Hasan, Raja Ema, Ashraff Muslim dan pelakon dari Singapura, Rashid Din.

Qais & Laila dijadualkan berlangsung pada 25 Julai 2026 di Panggung Bangsawan Melaka sebagai pementasan eksklusif satu malam sahaja.

Tiket untuk menonton teater ini boleh dibeli menerusi laman rasmi ticket2u. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok