HASRAT usahawan Datuk Red untuk kembali bersatu dengan bekas isteri, Adira Suhaimi selepas Aidilfitri tahun ini tidak kesampaian apabila dirinya masih dibelenggu hutang.
Percaya aturan Tuhan, Adnan atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu, 47, berkata, dia sendiri mahu memastikan diri lebih bersedia sebagai suami dan ayah sebelum memikirkan soal perkahwinan semula.
“Tiada jodoh. Siapa yang tak nak kahwin? Semua nak kahwin, kan? Lebih-lebih lagi saya selepas hampir setahun dah menduda.
Tapi nak buat macam mana, hutang lebih banyak daripada keinginan nak kahwin.
“Biar saya selesaikan dulu, sebab kalau nak kahwin biarlah dalam keadaan tenang dan bertanggungjawab sepenuhnya. Kalau masih ada hutang, tak payahlah dulu. Ada jodoh, adalah,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Pun begitu, Adnan yang mesra disapa Datuk Red itu berlapang dada dan reda andai Adira menemui pengganti dan meneruskan kehidupan dengan pasangan lain.
Malah, dia sudah bersedia untuk menduda sehingga ke akhir hayat sekiranya tidak berkahwin semula dengan pelantun lagu Pujaan Hati itu.
Kalau Adira ada jodoh dengan orang lain pun, saya reda. Sedih tetap sedih, tapi nak buat macam mana, kita kena sedar diri, sedar ruang. Saya ketika ini berada pada titik paling rendah.
“Kalau dia boleh bahagia dengan orang lain, saya tak halang.
Macam saya, saya pun dah nak masuk 50 tahun, tak ada masa nak cari perempuan lain dah, kalau bukan dengan Adira, biarlah saya menduda sampai ke akhir hayat,” ujarnya.
Walau apa pun terjadi, duda 11 anak itu berhasrat mengekalkan hubungan baik dengan keluarga bekas isteri kerana sudah terlalu rapat dengan mereka.
“Saya berkawan baik dengan keluarga Adira. Kadang-kadang saya datang rumah dia, dia pun selalu dengan abang dan kakak dia.
Saya selesa macam tu. Hormat keluarga dia, jaga hubungan baik. Tapi kalau Adira kahwin lain nanti, faham-faham sajalah, kekoklah sikit,” luahnya.
Pada Julai tahun lalu, Adnan pernah meluahkan keinginan berkahwin semula dengan Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 34, pada Aidilfitri 2025, namun impian itu terpaksa ditangguhkan.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3.
Sebelum ini, rumah tangga Adnan dengan isteri pertama, Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim juga berakhir dengan penceraian pada 13 Mei tahun lalu dan mereka mempunyai lima orang anak.
Usahawan itu pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun tetapi perkahwinan berakhir selepas lima tahun dengan dua cahaya mata. – HIBGLAM