‘Dulu kalau cuti saya akan ke laut, sekarang pilih Tanah Suci’

Pelakon Zul Ariffin terpaksa melupakan hasrat untuk menyambut puasa pertama tahun ini di Tanah Suci susulan komitmen kerja yang padat.

Terikat dengan penggambaran filem ketika ini, Zul, 39, bagaimanapun tetap mengintai peluang untuk ke Tanah Suci untuk musim haji tahun ini sekiranya menerima jemputan.

“Pada asalnya nak sambut puasa pertama di sana tapi saya ada set penggambaran pula.

“Kemudian ada juga perancangan nak meraikan Hari Raya Aidilfitri di Tanah Suci tetapi kalau saya pergi, agak kelam-kabut juga sebab perlu masuk beberapa kelas latihan melibatkan projek filem.

“Saya juga ada tengok-tengok untuk musim haji tahun ini sebab adalah juga angan-angan itu. Manalah tahu terima jemputan, itu pun kalau ada,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di set penggambaran filem Wantugo di sini, baru-baru ini.

Tambah bintang filem Sangkar itu, Tanah Suci sentiasa menjadi tempat pertama dituju sekiranya mempunyai tempoh cuti yang panjang berbanding lokasi lain.

“Dulu laut tetapi sekarang memang kalau cuti saya akan sasar ke Tanah Suci sahaja, mungkin sebab usia pun sudah bertambah.

“Bila ada masa memang akan ke sana dan selalunya saya pergi seorang diri sahaja.

“Saya okey sahaja kalau nak pergi ke sana bila-bila waktu, Alhamdulillah. Saya pun rapat dan saling berhubung dengan sebuah agensi serta juga Pencetus Ummah Azhar.

“Adakalanya hanya pergi sekejap untuk tunai umrah dalam tempoh lima hari pun okey sahaja. Siapa yang tak mahu pergi, tapi terikat dengan komitmen kerja.

“Tempat lain kalau orang ajak saya mungkin tolak tetapi Tanah Suci, tak akan kata tidak,” jelasnya.

Terdahulu, sekitar tahun 2022, Zul pernah memberitahu nekad berhijrah dan menetap di Mekah bermula Januari 2023 bagi memulakan perniagaan di sana.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin berkata, perniagaan tersebut sudah lama dirancang dan sekarang adalah waktu paling tepat untuk melaksanakan impiannya.

Diberikan rezeki, Zul kemudiannya menunaikan haji pada Jun 2023.

Sementara itu, menerusi filem Wantugo terbitan Astro Shaw, Zul turut bergandingan dengan barisan pelakon hebat lain seperti Meerqeen, Sein Qudsi, Elizabeth Tan, Sky Iskandar dan Daiyan Trisha.

Naskhah arahan Nurhanisham Muhammad itu mengetengahkan genre suspens thriller selain mengisahkan tentang sekumpulan individu yang berusaha menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam sebuah permainan maut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok