TUDUHAN tidak berasas, pelakon Fattah Amin menafikan dakwaan kononnya dia sudah melangsungkan pertunangan dengan penyanyi Amira Othman seperti yang tular sejak Ahad lalu.
Mengakui terkejut dengan gosip berkenaan, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, menganggap khabar angin itu mungkin timbul kerana komen netizen yang mendoakan mereka berdua.
Saya ada dengar, waktu itu terkejut kenapa tiba-tiba timbul gosip sebegitu. Ingin saya tegaskan khabar angin itu tidak benar.
“Saya tidak tahu bagaimana gosip tersebut boleh muncul. Saya tahu pun daripada kawan-kawan media.
“Apabila saya baca, saya terkejut dan tergelak. Mungkin berita itu keluar berikutan komen-komen netizen yang mendoakan saya,” katanya kepada HibGlam.
Pelakon Hero Seorang Cinderella itu juga mendedahkan pihak pengurusannya telah menghubungi pengurusan Amira bagi mendapatkan kepastian mengenai dakwaan tersebut.
Tidak akan merahsiakan berita baik terutama soal jodoh, Fattah bagaimanapun menegaskan hubungannya dengan Amira tidak lebih daripada kawan.
“Pihak pengurusan saya ada hubungi pengurusan Amira untuk bertanyakan tentang gosip. Sudah tentu kami berdua sama-sama terkejut.
Kalau gosip itu betul, sudah tentu kisah pertunangan tidak boleh disorok. Macam saya cakap sebelum ini, kami berdua hanya kawan. Hubungan itu sekadar urusan kerja sahaja.
“Saya dan Amira masih banyak kerjasama antaranya Jakel, jadi kami sering berjumpa atas urusan kerja. Selain itu, tidak lebih dari kawan,” ujarnya pada majlis Koleksi Amber Raya Romantics, hari ini.
Tidak menolak kemungkinan wujud pihak berniat jahat menyebarkan gosip berkenaan, bekas suami kepada aktres Nur Fazura itu bagaimanapun hanya berserah kepada Allah.
“Kalau ada pihak berniat buruk, saya tidak tahu apa motif mereka. Saya hanya berdoa agar Allah melindungi saya daripada perkara tidak baik,” luahnya.
Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa Fattah telah bertunang dengan Amira pada Jumaat lalu dan bakal melangsungkan pernikahan Syawal nanti. – HIBGLAM