SUARA emas Datuk Jamal Abdillah tidak lagi asing dalam kalangan peminat muzik tidak kira generasi muda mahu pun yang telah berusia.
Datanglah ribuan bakat baharu, kedudukan figura legenda itu tidak terjejas, bahkan semakin ditagih saban waktu.
Mengenangkan sokongan ramai juga, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd. Ali tidak pernah pudar semangat terhadap seni yang berakar di jiwa.
Atas kecintaan tersebut juga terzahirnya agenda konsert Raja Pop bagi mengisi impian semua.
Memilih judul, Jamal Abdillah Live In Concert, penyanyi berusia 64 tahun itu tampil bekerjasama dengan penganjur acara tidak asing lagi, Shiraz Projects.
Selain menyerahkan segala perancangan kepada penganjur, Jamal berharap kehadiran anak-anak, Yamani Abdillah dan Zaki Yamani akan menambahkan kehangatan konsertnya kelak.
“Saya sudah maklumkan kepada anak-anak ingin mengajak mereka bernyanyi semasa konsert saya.
“Cuma perlu menunggu pihak Shiraz hantar surat kepada syarikat mereka untuk luahkan hasrat tersebut,” katanya dengan gembira.
Sementara itu, Jamal memaklumkan tetap menjaga eksklusiviti demi penganjur dan sanggup menolak undangan persembahan lain.
“Kalau ikut perjanjian bersama Shiraz memang eksklusif. Jadi, saya kena kawal penglibatan ke undangan persembahan.
“Jika sering menyanyi di acara-acara lain akan menjejaskan penjualan tiket. Saya kena fikir ke arah itu agar pihak penganjur tidak terkesan,” tambahnya lagi.
Joging, hafal lirik
Mengenai persediaan menjelang konsert pada 9 September kelak, pelantun lagu Azura itu menjadikan amalan bersenam dan menjaga pemakanan bagi memastikan stamina terbaik sepanjang persembahan.
“Saya kena menyanyikan 20 lagu dalam satu masa. Jadi, rutin harian saya sekarang, kalau ada masa terluang saya akan berjoging atau jalan laju atas treadmill.
“Yang penting jaga pemakanan, kesihatan dan jangan tertekan. Nak nyanyikan lagu-lagu Jamal Abdillah bukan mudah tau,” ujarnya berseloroh.
Selain menjaga kesihatan, anak kelahiran Perak itu akan kembali membuat ‘ulang kaji’ setiap bait lirik lagunya setiap hari bagi memberikan penghayatan penuh semasa konsert menjelang.
“Selain bina stamina, saya sudah mula fokus dengan semua lagu yang ingin dipersembahkan kelak.
“Mana-mana lagu yang akan dinyanyikan, saya cetak lirik untuk praktis dan perhati setiap hari.
“Setiap pagi saya akan baca walaupun sering menyanyikan lagu sendiri. Tujuan saya adalah untuk mendapatkan lebih penghayatan,” tutur bapa kepada enam orang anak itu.
Tiket-tiket Jamal Abdillah Live In Concert dijual pada harga bermula RM255 (Silver), RM355 (Gold), RM495 (Platinum), RM595 (Diamond) dan RM955 (Mee & Great) kini boleh didapati menerusi www.ticket.asia atau hubungi talian hotline 03-86050196.