’Andai ini cubaan menjatuhkan, saya maafkan orang itu’

TERPALIT dakwaan ditangkap khalwat beberapa hari menjelang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), penyanyi Nadeera menganggap perkara tersebut sebagai ujian anak seni.

Kekal positif, Nadeera atau nama lengkapnya Farah Nadeera Zaini, 32, enggan menuding jari menyalahkan mana-mana pihak atau menganggp tuduhan berkenaan sebagai cubaan menjatuhkan reputasi baiknya ketika rancak membuat persiapan AJL39.

“Saya tak rasa perkara tersebut cubaan menjatuhkan saya.

“Kalau ini ujian, saya terima. Andai orang cuba menjatuhkan, saya maafkan orang tersebut.

“Saya berharap orang itu bertaubat lebih-lebih lagi kita sudah dekat dengan bulan puasa,” katanya kepada HibGlam semalam.

Dalam masa sama, penyanyi bertubuh genit itu enggan melayani kontroversi murahan tersebut kerana lebih memberi tumpuan terhadap persembahan Bukan Lagi Kita di pentas berprestij semalam.

“Saya cakap dengan pengurus dan pihak pengurusan buat apa nak fikir kerana boleh merosakkan fikiran.

Sebulan saya memang betul-betul fokus dengan apa yang mahu dibuat untuk AJL termasuk tidak tengok media sosial yang pasukan saya uruskan.

“Ketika dapat tahu, saya engan layan. Biarkan sahaja lagipun saya tidak tahu kenapa nama saya dikaitkan,” ujarnya lagi.

Selepas 10 tahun bergelut dalam industri, Nadeera akhirnya berjaya menjulang trofi Naib Juara AJL 39 menerusi karya ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok