‘Naik turun percintaan saya sama macam orang lain’

USIANYA sudah menjangkau angka 51 tahun, kerjaya seni pula sudah mencecah tahun ke-33, namun kilauan yang ada pada sebutir bintang bernama Erra Fazira tidak pernah pudar.

Nilai dan popularitinya masih tinggi, justeru apa sahaja yang berlaku dalam hidupnya masih membikin orang ramai ‘sibuk’ mahu ambil tahu.

Lama menyepi dengan kisah cinta, pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek tiba-tiba membikin derau hati banyak orang apabila lelaki bernama Ezwan Zain atau Mr. E dikatakan bermukim di jiwa, tambahan pula sudah 11 tahun bintang Soal Hati itu hidup solo.

Satu Malaysia mahu tahu siapakah gerangan lelaki bertuah itu? Bahkan timbul spekulasi kononnya sesuatu istimewa akan berlaku pada 7 Februari lalu iaitu dua hari sebelum ulang tahun kelahirannya.

Seperti yang diperkatakan bekas ratu cantik itu juga, sehingga kini tiada sebarang majlis istimewa berlangsung. 

Berulang kali ditebak soalan serupa, tak rimaskah dia asyik hal peribadinya menjadi tatapan umum.

Tertawa kecil, bintang filem Sembilu mengakui tidak sekali pun dia menyesal memilih bidang seni sebagai kerjaya. Menjadi tumpuan sudah terlalu biasa buat dirinya.

“Masakan pula terdetik di hati saya untuk berasa menyesal memilih bidang yang dicintai dan menjadi punca pendapatan rezeki keluarga. Semestinya dalam apa bidang sekali pun ada pakej cabaran. Cabaran bidang kerja saya ialah privasi hidup sedikit hilang.

“Setelah melatih diri bertahun-tahun menerima kenyataan ini, pada usia sekarang saya reda dan terima baik buruknya. Rimas atau letih dengan perhatian itu, wajib saya kendali dengan baik demi kehidupan yang lebih tenang. 

“Saya jalani hidup seperti biasa, naik turun graf kehidupan atau percintaan saya sama sahaja dengan insan lain. Apa yang baik kita kongsi, yang buruk dijadikan pengajaran,” tutur Erra memulakan bicara.

BERTAHUN-tahun menjadi perhatian terutama soal peribadi, Erra sedaya-upaya mengendalikan perihal tersebut seperti menarik benang dalam tepung agar kehidupannya menjadi tenang.

Teman hidup

Menghalakan perbualan tentang keakraban yang semakin terserlah bersama ahli perniagaan bernama Ezwan, Erra mengaku mereka dalam fasa tidak lebih daripada berkawan. Meskipun sudah lama berkenalan, Erra mengakui hubungan mereka kembali bertaut sejak tiga tahun lalu dan mula rapat selepas lelaki kerap menghantar mesej menerusi Instagram.

Keterbukaan Erra bersama pemilik restoran terlihat menerusi ucapan sempena hari ulang tahun kelahiran yang dimuat naik menerusi Instagram sehingga menyakinkan peminat bahawa kali ini ada keseriusan di sebalik perhubungan mereka.

Tidak kurang ada yang berharap Erra dan Ezwan diberikan pengakhiran indah dengan ikatan perkahwinan. 

Sebagai manusia biasa, Erra juga mengimpikan hidup berpasangan seperti wanita lain. Namun, pengalaman mendewasakannya dan dia sedar bukan mudah untuk mencari lelaki yang tepat.

“Saya semakin sedar, tidak mudah mencari pasangan seperti yang kita dambakan. Semua datang dengan pakej  baik dan buruk. Saya sendiri sedang belajar untuk menerima kekurangan diri sendiri dan kalau boleh saya harap dengan pasangan, kami akan saling menerima kelebihan dan kelemahan masing-masing.

“Paling penting kami mempunyai matlamat yang sama untuk menjadi insan lebih baik dari semasa ke semasa di dunia mahupun akhirat kelak,” ujar Erra yang pernah dua kali mengalami kegagalan berumah tangga. 

Sungguh, sempena ulang tahun ke-51 yang jatuh pada tanggal 9 Februari lalu, tiada apa yang dipinta Erra selain keberkatan dalam hidup. 

“Sempena peningkatan usia, saya hanya harapkan doa untuk kejayaan, kebaikan, kebahagiaan dan kedamaian buat saya, bonda dan anak saya di dunia dan akhirat. 

“Tiada apa yang lebih penting, kerana mereka adalah nadi utama dalam hidup Fazira Wan Chek,” tuturnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok