‘Masa bergelar suami orang, kurang pula yang bercakap fasal saya’

DIKECAM berpenampilan ke arah ‘adik adik’ atau lelaki lembut, penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob akui semakin menjadi perhatian selepas bergelar duda sehingga hal sekecil pemakaian kanta lekap berwarna dijadikan isu.

Lebih menghairankan, Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob, 47, berkata, dakwaan tidak berasas sebegitu terus menjadi sebutan walhal sudah hampir tiga tahun dia menjadi duta produk kanta lengkap buatan Korea Selatan.

“Sejak saya bercerai, ramai mula perhatikan itu ini. Dahulu masa bergelar suami orang, kurang pula yang bercakap fasal saya.

Menurut pelantun Asmara Ini itu, pemakaian kanta lekap bukan sekadar suka-suka mahupun ingin kelihatan lebih menonjol, sebaliknya demi memenuhi permintaan syarikat yang diwakili.

“Sebenarnya, saya perlu pakai kanta lekap berwarna sebab itu syarat kontrak sebagai duta.

“Warna yang saya pilih pun bukan keterlaluan, cuma mungkin sebab saya lelaki, itu yang nampak sedikit berbeza di mata orang.

“Tapi bagus juga kalau orang perasan, secara tak langsung membantu saya mempromosikan produk yang saya gunakan,” ujarnya.

Dihambur cacian, bapa kepada empat cahaya mata itu bagaimanapun tidak pernah terkesan dengan komen-komen negatif.

“Saya sebenarnya dah tak nak peduli sangat dengan kata-kata orang.

“Bagi saya, ini juga punca rezeki Lagi pun, sejak jadi duta kanta lekap, memang saya perlu memakainya. Ini sebahagian daripada kerja saya. Itu sahaja,” jelasnya.

Baru-baru ini, Fazley menjadi bahan kecaman apabila terdapat netizen yang mempertikaikan penampilannya semakin pelik dan kelihatan lebih feminin.

Kutukan makin berganda apabila dia memakai kanta lekap berwarna yang disifatkan kurang sesuai dipakai lelaki normal. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok