SAAT melangkah masuk ke panggung dengan satu hasrat menonton filem terbaharu lakonan kesayangan Hollywood, Gerard Butler berjudul Den Of Thieves 2: Pantera, sejujurnya penulis tiada sebarang jangkaan.
Pantera merupakan sekuel daripada daripada naskhah terdahulu, Den of Thieves yang diluncurkan pada 2018. Seperti ingat-ingat lupa kehebatan filem tersebut, namun yang pasti penyanyi rap 50 Cent juga berlakon sama.
Berbalik ke versi Pantera, penulis ‘dahaga’ untuk disajikan naskhah yang sengal-sengal ubi bersulamkan aksi atau ‘action’, sayangnya elemen tersebut tidak berlaku secara konsisten.
Butler kembali memerankan watak ikonik Big Nick, namun malangnya terjemahan karakter tersebut seperti ada ‘hit-and-miss’ tersendiri yang kebanyakan waktu membuatkan penulis menguap dan seperti ingin berlari pulang ke rumah.
Tak seronok
Mula-mula, plot Pantera sedikit berterabur. Hanya apabila selepas 30 minit filem bermula, barulah seperti ada keseronokan menonton.
Seketika kemudian, keseronokan itu datang dan pergi bersulam-sulam apabila fokal naskhah ditemukan semula.
Secara peribadi, Pantera tidak lebih hanya sebuah naskhah tipikal bertemakan ‘heist’ atau rompakan.
Ada banyak filem heist hebat dalam dunia ini dan masih melekat dalam kerangka pemikiran. Malangnya, Pantera tidak akan masuk senarai.
Jumlah aksi atau babak mendebarkan tidak begitu banyak. Apa yang masih segar dalam fikiran adalah ketika Big Nick dan Donnie Wilson (O’Shea Jackson) berseronok di kelab malam dan bercakap perihal dungu seperti orang tiada tamadun.
Begitu juga adegan ketika Big Nick ‘tergantung’ antara sebuah bangunan dengan sebuah bangunan yang lain selepas hampir berjaya merompak berlian berharga.
Babak itu sedikit menderas adrenalin yang sudah meronta-ronta ingin dihiburkan.
Satu hal lagi, Gerard Butler sekarang bukan Gerard Butler yang biasa dilihat dalam P.S. I Love You atau Dracula 2000 dan London Has Fallen. Tidak pasti itu memang kehendak pengarah atau produksi, selekeh Butler sekarang tidak boleh bawa bincang.
Jenama Gerard Butler
Tiada masalah dengan Big Nick terjemahannya, namun penulis mengharapkan Butler bangkit dan mula melihat filem-filem indie agar boleh terus relevan sebagai seorang aktor.
Lihat sahaja pelakon-pelakon wanita seperti Demi Moore atau Glenn Close yang masih menjadi bualan ramai walaupun usia begitu mencemburui mereka.
Menyentuh soal sinergi antara Big Nick dan Wilson, entah mengapa apa yang dipamerkan antara Butler dan Jackson tidak membekas di hati penulis.
Ada masa ‘persaudaraan’ antara mereka begitu cukup kimianya, ada masa masa penulis lupa bahawa mereka pernah berlakon sama untuk filem pertama pada 2018.
Entahlah, selera masing-masing tetapi itulah apa yang dirasakan.
Keseluruhannya, Den Of Thieves 2: Pantera sebuah filem ‘heist’ yang diharapkan menjentik keseronokan konsisten dalam jiwa, namun itu tidak berlaku secara konsisten.
Kalau Pantera adalah lembaran helaian kertas jawapan peperiksaan, markah yang boleh diberikan hanyalah B minus (B-). – HIBGLAM