PELAKON veteran Hollywood, James Handy maut akibat ditikam seorang lelaki di kediamannya di Tarzana, Los Angeles, Amerika Syarikat pada pagi kelmarin.
Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) mengesahkan aktor berusia 81 tahun itu dibunuh anak lelaki kepada teman wanitanya yang tinggal bersama di kediaman tersebut.
Pelakon yang terkenal dengan wataknya dalam filem Top Gun: Maverick itu ditemui tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman pada bahagian dada.
Memetik kenyataan polis, pasukan penyelamat yang ke rumah mangsa selepas mendapat panggilan kecemasan mendapati Handy terbaring di halaman rumahnya.
“Saya baru sahaja membunuh seorang lelaki yang berdosa,” demikian laporan diterima pihak berkuasa menerusi panggilan tersebut.
Beliau dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia, manakala suspek menyerah diri kepada polis di lokasi kejadian.
Suspek, Michael Gledhill, 44, kini direman atas pertuduhan membunuh dengan ikat jamin ditetapkan sebanyak RM8 juta.
Terdahulu, Handy menceburi arena lakonan sejak 1970-an, malah menyerlah menerusi penampilannya dalam filem Jumanji (1995) serta Top Gun: Maverick (2022).
Popularitinya juga dikatakan berganda selepas terbabit dalam pelbagai siri televisyen popular seperti NYPD Blue, Law & Order dan NCIS: Los Angeles. – HIBGLAM
