BERITA gembira untuk seluruh dunia, perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza, Palestin membuatkan ramai menzahirkan rasa syukur dan berharap perang tersebut tidak akan berulang lagi.
Antara selebriti tanah air yang melahirkan rasa lega ialah pelakon dan penyanyi Nur Fazura yang sebelum ini lantang berkongsi tentang penderitaan penduduk Gaza dan kekejaman rejim Zionis.
Hari yang kita nanti-nantikan sudah tiba selepas 467 hari menyaksikan genosid dengan mengorbankan lebih ratusan ribu penduduk termasuk kanak-kanak.
“Perjanjian gencatan senjata antara Hamas-Israel akhirnya berjaya dilakukan dengan mediasi oleh beberapa negara iaitu Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat,” katanya dalam Instagram hari ini.
Bintang filem Gol & Gincu itu juga berharap bumi Palestin dapat ‘dihidupkan’ kembali seperti sebelum ini.
“Saya berharap Gaza dapat dibangunkan semula dengan lebih kukuh dan indah seperti semangat penduduk yang tak pernah goyah.
Kita akan terus berdoa untuk kebebasan kalian dan sentiasa memberi sokongan kepada bumi Palestin buat selama-lamanya!” katanya lagi.
Hari ini, Perdana Menteri Qatar, Mohammed Al Thani mengumumkan persetujuan gencatan senjata antara Israel dan Hamas susulan laporan awal mengenainya oleh bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Mohammed Al Thani juga mengesahkan pembebasan 33 tebusan Israel semasa fasa pertama gencatan senjata Gaza.
Gencatan senjata itu merupakan langkah pertama ke arah kestabilan yang berkekalan.
Trump sebelum ini mengumumkan gencatan senjata tersebut menyifatkannya sebagai ‘perjanjian epik’.
Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan seramai 46,600 orang terbunuh sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023 akibat serangan udara dan darat Israel dengan lebih separuh terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga tua. – HIBGLAM