SIAPA sangka, sesi futsal santai penyanyi Syamel bertukar tragedi apabila dia mengalami kecederaan sehingga tulang selangkanya retak.
Dalam perkongsian menerusi Instagram Story, Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 33, mengakui situasi itu bukanlah sesuatu yang dijangka, namun bersyukur kerana kecederaan dialami tidak terlalu serius.
“Collarbone (tulang selangka) retak. Nasib tidak menyebelahi permainan futsal semalam. Tapi nasib baik stabil dan tulang itu tidak patah dua.
“Nasihat saya kepada kawan-kawan yang main sukan secara hobi, kita main sekadar keluar peluh,” katanya.
Penyanyi lagu Hidup Dalam Mati itu turut memuat naik foto keadaan tangannya yang sudah berbalut selepas mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan.
Sementara itu, isterinya, penyanyi Ernie Zakri, memberitahu Syamel perlu berehat selama dua minggu atas nasihat doktor.
Tidak hanya itu, Ernie juga sempat menasihatkan Syamel bahawa sukan dimainkan mestilah secara santai dan bukanlah bersungguh-sungguh seperti merebut piala.
“Main futsal katanya, tahu-tahu balik rumah cedera. Semoga cepat sembuh. Doktor minta rehat dua minggu, harap cepatlah proses penyembuhan.
“Kadang kita hati-hati tapi orang lain yang tak hati-hati. Saya bebel dekat suami saya.
“Main futsal itu mainlah, kalau beriya macam nak rebut piala, lebih baik jadi pemain futsal profesional,” tegas nya.
Insiden itu mengingatkan peminat sukan supaya sentiasa berhati-hati dan meletakkan keselamatan sebagai keutamaan walaupun hanya bermain secara santai. – HIBGLAM