KEBAKARAN hutan yang melumpuhkan Los Angeles sejak 6 Januari lalu dianggap antara bencana paling buruk dalam sejarah.
Lebih 12,000 hektar kawasan musnah, memaksa ribuan penduduk berpindah bagi mengelak ancaman api yang marak dan sukar dikawal.
Api bermula di Pacific Palisades sebelum merebak pantas ke Pasadena akibat angin kencang.
Insiden ini turut menjejaskan selebriti Hollywood yang kehilangan kediaman mewah di Malibu, Pacific Palisades dan Beverly Hills.
Antara selebriti terkesan adalah Paris Hilton yang kehilangan rumah bernilai $8.4 juta (RM37 juta) di Malibu.
Kediaman itu menyimpan nilai sentimental buat keluarganya.
Pasangan bintang rancangan realiti, Heidi Montag dan Spencer Pratt juga kehilangan rumah mereka di Pacific Palisades.
Insiden tersebut memberi tamparan hebat kepada pasangan itu yang menjadikannya tempat membina impian bersama.
Sementara itu, pasangan selebriti Leighton Meester dan Adam Brody turut berdepan nasib sama apabila rumah bernilai $6.5 juta (RM29 juta) mereka di Pacific Palisades musnah dijilat api.
Banglo lima bilik tidur dan enam bilik mandi dengan pemandangan laut itu kini hanya tinggal kenangan.
Pelakon Anna Faris pula kehilangan rumah agam bernilai $5 juta (RM22 juta) dalam kebakaran tersebut.
Walaupun harta benda musnah, Anna bersyukur kerana keluarganya berada dalam keadaan selamat.
Pasangan Miles Teller dan isterinya, Keleigh, baru sahaja membeli rumah impian bernilai RM34 juta sebelum bencana itu.
Mereka tidak sempat menyelamatkan barang berharga termasuk gaun perkahwinan Keleigh yang mempunyai nilai sentimental tinggi.
Dalam kejadian itu, rumah Ben Affleck terselamat walaupun berada berhampiran kawasan kebakaran.
Namun, dia memilih untuk berpindah sementara ke rumah bekas isterinya, Jennifer Garner bagi menjamin keselamatan.
Rumah Tom Hanks di kawasan perbukitan Pacific Palisades turut selamat.
Kediaman bernilai $26 juta (RM115 juta) itu terletak di lokasi eksklusif dengan pemandangan indah dan halaman luas.
Selebriti lain seperti Adele dan Kim Kardashian juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan berpindah demi keselamatan diri dan keluarga.
Susulan situasi semakin kritikal, Gabenor California, Gavin Newsom, mengisytiharkan darurat yang memaksa lebih 100,000 penduduk dipindahkan.
Kebakaran itu sekali lagi membuktikan kuasa alam mampu melumpuhkan sesiapa sahaja tanpa mengira status atau kekayaan. – HIBGLAM