BARU sahaja membuat kemunculan semula dalam industri hiburan, nama tiba-tiba menjadi panas gara-gara timbul khabar angin berlakunya perbalahan dengan rakan seperjuangan dalam program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) iaitu Sheila Abdull.
Menafikan segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya, Arrora Salwa atau nama lengkapnya Salwa Md. Razak menyifatkan dakwaan itu sengaja diwujudkan bagi mencetuskan sensasi.
Ada yang kata saya dan Sheila bergaduh sampai bermasam muka. Itu tidak benar kerana antara kami memang tiada sengketa atau berbalah. Perkara itu wujud selepas potongan video daripada sebuah audio siar tular,” terangnya.
Akui agak terkilan dengan khabar angin itu, Arrora bagaimanapun memuji sikap profesional Sheila dalam menepis dan menjawab pertanyaan gandingan selebriti yang merupakan bekas kakitangan syarikat penerbangan itu.
Bahkan, Arrora turut sempat menitipkan pesan agar penyanyi yang juga bekas pramugari itu cakna dengan pemilihan soalan agar tidak mencetuskan salah faham pada kemudian hari.
“Terus terang saya sangat kagum dengan cara Sheila membalas pertanyaan itu. Sebaik sahaja insiden itu tular, saya terus menghubunginya dan mengucapkan terima kasih kerana memberikan reaksi bijak.
Pemilihan perkataan yang baik dan cara menjawab dengan penuh profesional. Saya harap orang di luar sana jangan mudah percaya dengan berita ini.
“Sepatutnya mereka bertanyakan tentang bagaimana kejayaan Sheila berjaya mendapat tempat di kedudukan teratas dalam GV11. Perkara itu boleh menjadi inspirasi kepada orang lain untuk maju. Bukan mewujudkan suasana kurang senang dalam kalangan mereka yang pernah bekerja sebagai anak kapal,” katanya.
Hindar kontroversi
Bercakap tentang kontroversi, Arrora memilih untuk enggan memberikan sebarang tindak balas terhadap perkara itu. Baginya hal negatif hanya akan mengundang padah sekiranya memberi reaksi kerana perkara itu akan berpanjangan.
Namun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Ahmad itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah yang dibuat melibatkan soal nama baik keluarga.
“Sebenarnya benda negatif ini kalau dilayan akan menjadi lebih teruk. Sekiranya ada hal tidak puas hati boleh bersemuka, jangan bergaduh dalam media sosial atau memuat naik status.
Mengenai isu itu juga (dakwaan bergaduh dengan Sheila), saya sudah berbincang dengan peguam. Setelah meneliti keseluruhan video, pada saya tidak ada apa-apa. Pada saya kalau benda negatif itu mengganggu nama baik dan keluarga. saya tidak teragak-agak untuk menghantar LOD (surat tuntutan) kepada dia,” ujarnya tegas.
Sedar kontroversi dan artis diibaratkan seperti isi dengan kuku, namun itu tidak bermakna dia akan membiarkan dirinya menjadi sasaran mudah sebagai mangsa.
“Kalau boleh jangan bergaduh di media sosial atau memuat naik status. Saya juga sudah berbincang dengan peguam dan jika perkara ini berlaku (kontroversi) jangan buang masa.
Saya akan terus dengan tindakan undang-undang. Jangan berani jolok sarang tebuan,” katanya.
Selain bercakap tentang kontroversi, Arrora turut menerima ‘durian runtuh’ daripada Datuk Yusof Haslam yang tertarik hati untuk menawarkan peluang berlakon di bawah jenama produksinya.
Berlakon
Bagai bulan jatuh ke riba, Arrora mendapat tawaran lakonan daripada pengarah dan penerbit tersohor itu saat hadir sebagai juri GV11 minggu keempat.
Sebaik sahaja mengetahui tentang perkara itu di televisyen, Arrora memberitahu, suaminya sempat menghubungi dan bertanyakan tentang kesahihan tawaran tersebut. Tentu sahaja perkara itu menjadi hal luar biasa sementelah individu yang memberikan tawaran mempunyai pengaruh besar dalam industri hiburan tanah air.
“Habis buat persembahan, suami saya ada bertanyakan tentang tawaran berlakon itu. Dia bertanya sama ada itu benar atau sekadar bergurau sahaja.
Saya jelaskan bahawa tawaran berlakon itu belum tentu betul atau tidak lagi. Kalau betul rezeki saya alhamdulillah, tetapi segalanya tetap berbalik kepada awak juga sama ada restukan atau tidak.
“Jawapan dia, suami saya sangat memberi sokongan dan menyerahkan keputusan itu kepada saya. Asalkan tidak lupa diri dan tahu batas sebagai seorang isteri, itu memadai,” terangnya.
Tawaran itu secara tidak langsung mengubat kerinduan untuk kembali beraksi di hadapan kamera. Selain terkenal dengan lagu Ahmad, Arrora sebelum ini pernah membintangi beberapa naskhah antaranya drama Menantu Sepuluh Ribu dan filem Kerat 14.
Sejujurnya mendengar tawaran itu buat saya gembira kerana dahulu pun memang pernah terlibat dalam dunia lakonan. Cuma waktu itu berlakon tidak berguru dan terus jadi pelakon.
“Ada satu drama yang tajuknya Singgahsana Cinta yang membuatkan saya belajar tentang apa itu lakonan. Daripada situ saya belajar tentang lakonan dan memang seronok serta tidak sangka akan dapat tawaran berlakon lagi,” katanya seraya menggulung perbualan. – HIBGLAM