PENYANYI Ziana Zain menegaskan setiap individu yang mahu menceburi bidang seni suara perlu mempunyai pakej lengkap untuk terus bertahan dalam industri tanah air.
Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain, 56, berkata, tiga perkara yang perlu dititikberatkan untuk bergelar seorang penghibur adalah bakat, imej dan disiplin.
“Bakat dan imej elemen yang sangat penting untuk jadi artis. Kita bukan macam industri di negara barat, ini Malaysia.
Imej yang saya maksudkan adalah penampilan dan bagaimana untuk serlahkan diri sebagai penyanyi. Semua ini penting untuk menarik peminat.
“Sekarang ramai penyanyi bagus, tapi bila rupa tiada dan imej kurang menyerlah, sukar nak bina nama. Bukan mahu pandang sebelah mata, cuma mereka perlu berusaha. Jika suara bagus, kena fikir apa lagi yang perlu diperbaiki,” katanya pada sidang media selepas konsert minggu pertama Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) di sini, semalam.
Katanya, semua perkara itu yang dititikberatkan dan diambil kira sepanjang menilai setiap peserta dalam CSOIAM.
Ujarnya lagi, mencari kelainan dalam penampilan adalah antara perkara yang perlu dipandang berat bagi membezakan diri dengan orang lain.
Sepanjang menjadi juri CSOIAM, saya juga melihat soal imej. Ada peserta yang saya tegur soal ini sebab hendak jadi penyanyi bukan mudah, ambil masa bertahun-tahun nak bina nama.
“Saingan sangat ramai hari ini. Sebagai juri, kami akui memang sukar susah untuk memilih.
“Peluang datang sekali sahaja, jadi guna sebaik mungkin termasuk menjaga imej, bakat dan disiplin, itu yang prinsip yang saya pegang sejak dulu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia berkata setiap barisan juri tetap CSOIAM iaitu Datuk Yusry Abdul Halim dan Cakra Khan menekankan aspek keunikan dalam setiap peserta yang bertanding.
“Sebagai penyanyi perlu ada elemen ‘X Factor’ (kelainan) dalam diri mereka, kalau tiada kena cari.
Kita kecilkan pemilihan dan mencari yang mana boleh memikat juri dan penonton. Jika suara dan gaya penyanyi itu sama sahaja seperti orang lain, kami terpaksa singkirkan.
“Bukan yang tersingkir itu tidak bagus dan mungkin mereka akan lebih berjaya di luar sana. Ini adat pertandingan dan mereka perlu akur tambahan pula keputusan ini bukan dibuat sesuka hati,” ujarnya.
Semalam, konsert minggu pertama CSOIAM menyaksikan enam peserta berdepan penyingkiran.
Hanya 14 peserta berjaya meneruskan perjuangan daripada 20 peserta selepas melalui proses penilaian juri tetap.
Penyingkiran seterusnya bermula menerusi episod kedua sehingga empat finalis berjaya dicari untuk berentap pada minggu akhir pada 9 Februari tahun depan.
Keputusan akhir bagi minggu seterusnya ditentukan berdasarkan 60 peratus markah juri dan baki 40 lagi bergantung kepada undian penonton. – HIBGLAM