Masih Bisakah, inspirasi kisah rumah tangga Osem Han

PENINGKATAN isu rumah tangga dan penceraian dalam kalangan selebriti menarik perhatian ramai termasuk penyanyi kelahiran Singapura, Osem Han.Bimbang dengan trend perceraian yang semakin menjadi-jadi Osem tampil dengan single terbaharu berjudul Masih Bisakah yang mengangkat tema penerimaan dan keikhlasan dalam sesebuah hubungan.

Menurut Osem, karya ini tercipta sebagai refleksi terhadap realiti kehidupan rumah tangga yang tidak selalu indah, apatah lagi dengan wujudnya media sosial yang memberi ruang kepada lebih banyak masalah peribadi untuk dibincangkan secara terbuka.

“Terlalu banyak isu perceraian sekarang ini. Mungkin dulu kita jarang mendengar tentang masalah rumah tangga secara terbuka, tetapi dengan media sosial, isu ini semakin meluas dan mendapat perhatian ramai. Itulah sebabnya saya menghasilkan lagu ini, untuk memberi pengajaran dan membuka mata tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam hubungan berpasangan,” kata Osem.

Tambah Osem, lagu Masih Bisakah berkisar tentang bagaimana pasangan berhadapan dengan kesalahan dan ketidaksempurnaan masing-masing.

“Lagu ini ibaratnya seperti bertanya kepada diri kita, bolehkah kita menerima kesalahan pasangan kita? Bolehkan kita terus bersama walaupun sudah banyak perkara yang berlaku? Dalam setiap perhubungan, ada masa kita merasa teruji dan bertanya, masih bolehkah kita teruskan?,” ujar Osem.

Dedah Osem, lagu ini diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya dan perkahwinannya bersama isteri.

“Serba sedikit ada mengambil daripada kisah saya dan isteri. Saya ingin memberi peringatan bahawa dalam perkahwinan, tidak semuanya sempurna. Ada fasa-fasa indah, tetapi ada juga cabaran besar yang perlu dihadapi bersama,” tuturnya.

Dengan lirik yang menggambarkan kesulitan dan cabaran dalam perhubungan, Masih Bisakah memberi ruang kepada pendengar untuk merenung kembali keadaan dalam hubungan.

“Lagu ini sengaja saya biarkan tergantung tanpa penyelesaian yang jelas, menggambarkan bahawa jawapan sebenar bagi setiap pasangan ada dalam diri mereka sendiri,” katanya.

Osem mengakui bahawa dalam mencipta lagu ini, dia berusaha untuk tidak menjadikan Masih Bisakah sebuah lagu yang terlalu klise atau romantik. Sebaliknya, dia mahu menjadikannya sebuah karya realistik yang mencerminkan kehidupan sebenar.

“Saya cuba elakkan lagu ini daripada menjadi terlalu ‘lovey-dovey’. Ini adalah tentang realiti hidup. Saya mahu pendengar rasa seolah-olah mereka sedang bercakap tentang kehidupan mereka sendiri,” ujarnya yang turut memaklumkan lagu Masih Bisakah sudah dilancarkan di semua platform digital.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok