Anna Jobling letak syarat berlakon di Indonesia

Tegas dengan pendirian, pelakon Anna Jobling meletakkan syarat terhadap produksi di Indonesia sebelum menerima sebarang tawaran lakonan di sana.

Menurut Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling, 24, perkara tersebut dilakukan kerana sedar industri perfileman di sana lebih terbuka berbanding di Malaysia.

“Saya akan beritahu apa syarat saya sebelum terima sebarang tawaran lakonan di sana.

“Saya juga akan nyatakan perkara yang boleh atau tidak sebagai pelakon seperti menolak untuk pakai baju tertentu atau adegan keterlaluan.

“Kalau mereka boleh terima, kami akan bekerjasama tetapi kalau tidak, minta maaf saya terpaksa tolak,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis tayangan gala filem seram Indonesia lakonannya, Lembayung di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, meski banyak menerima tawaran lakonan di sana, dia menegaskan masih belum pernah terfikir untuk berhijrah dan menetap di Indonesia.

Baginya, Malaysia tetap rumah pertama dan tidak akan sesekali melupakan asal usulnya.

“Buat masa sekarang tiada kediaman tetap di sana. Cakap itu doa dan itu memang satu gol untuk saya.

“Malaysia masih rumah pertama saya tetapi saya tidak menolak jika mempunyai perancangan untuk perkara tersebut.

“Buat masa sekarang, biarlah semua berjalan secara perlahan-lahan dan tak mahu pergi sana kemudia terus ‘bye Malaysia’.

“Kita kena ingat dari mana asal usul dan bagaimana susahnya untuk masuk dalam platform ini dulu.

“Jadi, saya perlu sayang tempat asal dan akan cuba bawa nama Malaysia dengan baik ketika berada di negara orang,” jelasnya.

Selain Anna, pelakon lain terlibat dalam Lembayung arahan aktor Baim Wong adalah Arya Saloka, Taskya Namya, Yasamin Jasem dan Oka Antara.

Ditayangkan sejak September lalu di Indonesia, filem tersebut akan menemui penonton di Malaysia bermula 5 Disember depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok