Salji lebat, Aiman Tino terkandas di Seoul

GARA-GARA cuaca buruk akibat salji lebat, penyanyi Aiman Tino terkandas di Seoul, Korea Selatan berikutan penerbangan pulang ke Malaysia yang sepatutnya berlepas semalam dibatalkan.

Aiman atau nama sebenarnya Muhammad Aiman Yusri, 26, berkata, dia dan isterinya, Che Syarah Haifa Che Isa bersama penumpang lain terpaksa berada dalam pesawat selama lapan jam sebelum dibenarkan masuk semula ke lapangan terbang.

Tiba-tiba rasa seram pulak. Sepatutnya hari ini kami balik (Rabu), nak jadikan cerita kami dah masuk kapal terbang dari pukul 11 pagi tapi tiba-tiba ditangguhkan.

“Kami tersangkut dalam kapal terbang lapan jam dan diberitahu tentang cuaca Seoul sekarang agak teruk,” katanya menerusi Insta Story.

TANGKAP layar perkongsian Aiman mengenai penerbangan pulang ke tanah air terpaksa ditangguhkan berikutan salji tebal.

Menurut penyanyi Lelah itu, pesawat mereka antara lebih 50 penerbangan yang ditunda berikutan keadaan cuaca buruk melanda bandaraya tersebut.

Katanya, cuma agak menyedihkan ketika itu mereka terpaksa menahan lapar hampir seharian disebabkan mengejar penerbangan tersebut.

“Yang menyedihkan lagi hari ini saya dan isteri tak sempat sarapan sebab terpaksa berbegas dari hotel terus ke lapangan terbang.

Sampai sekarang kami tak makan lagi. Nasib baik Malaysia Airlines bagi kacang dan sandwich, dapat juga alas perut sikit tapi sekarang tengah lapar,” ujarnya.

Pada masa sama, Aiman berharap mereka dapat pulang segera ke tanah air memandangkan dia terikat dengan jadual kerja yang perlu dilunaskan.

Sementara itu, bapa Aiman, Yusri Ishak berkata, anak dan menantunya memaklumkan mereka menaiki penerbangan pulang pukul 11 pagi tadi.

Alhamdulillah, Aiman dan isteri malam tadi maklumkan mereka sudah dapat jadual penerbangan pulang iaitu sepatutnya pukul 11 pagi tadi.

“Harapnya semua urusan mereka dipermudahkan. Setakat ini dia belum hubungi kami lagi untuk kongsi perkembangan lanjut,” katanya.

Yusri berkata, Aiman dan isteri bercuti di Korea Selatan pada 22 November lalu dan dijadualkan kembali ke tanah air semalam. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok