Pempengaruh Asia bakal diiktiraf di pentas ASIA 2024

PENTAS berprestij Anugerah All Star Influencers (ASIA) 2024 bakal mengiktiraf pempengaruh terbaik dari lapan negara di Asia termasuk Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Datuk Abd. Rahman Soltan anugerah tersebut bakal menghimpunkan bakat dan pengaruh digital dari pelbagai latar belakang budaya.

Ini bertujuan untuk meraikan serta memberi penghargaan kepada individu yang berhasil membawa impak positif kepada masyarakat dalam dunia digital Malaysia serta antarabangsa.

“Dengan lebih 300 juta pengikut di seluruh Asia, ASIA 2024 bukan sekadar acara sambutan, tetapi sebahagian daripada visi besar untuk menghubungkan Asia melalui pengaruh digital.

Kami membina rangkaian pengaruh yang dapat melahirkan inspirasi, membina kreativiti dan mempereratkan hubungan antara budaya.

“Misi utama adalah menyediakan platform memanfaatkan kekuatan media sosial dalam membawa perubahan positif di peringkat antarabangsa,” katanya.

Abd. Rahman berkata penganjuran ASIA 2024 merupakan sebahagian daripada visi besar menghubungkan negara Asia melalui pengaruh digital.

Tambahnya lagi, misi ASIA 2024 adalah untuk memajukan industri pengaruh digital di Asia sambil mendorong pembangunan sosial yang lestari.

“Anugerah ini bukan sahaja tentang meraikan pencapaian individu tetapi juga usaha untuk membentuk masa depan yang lebih berhubung dan lestari.

Kami mahu para pempengaruh dan jenama mencipta kempen yang bukan hanya menarik perhatian, tetapi memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencipta impak yang berkekalan.

“Dengan wawasan yang berpandangan jauh ini, kami berharap ASIA akan menjadi platform yang menyatukan budaya dan memperlihatkan potensi besar pempengaruh Asia di mata dunia,” katanya.

Selain Malaysia, anugerah yang bakal berlangsung pada Disember hadapan bakal membawa pempengaruh dari Jepun, Korea, Indonesia, Filipina, Vietnam, Taiwan dan Thailand.

Malah, peserta yang terdiri daripada pempengaruh akan menjalani aktiviti seni dan budaya selama tiga hari di Melaka.

Anugerah yang memasuki edisi kedua tahun ini juga selari dengan kempen Tahun Melawat Melaka 2024, menonjolkan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia kepada seluruh Asia.

ASIA 2024 akan menyampaikan 13 anugerah menerusi kategori penghasilan kandungan kreatif terbaik sempena dengan empat hari berlangsung acara berkenaan.

1. Best Gourmet Story Award (Individual)
2. Best Storyteller Award (Individual)
3. Best New Mixed Dance Award (Group)
4. The People’s Choice Award (Individual)
5. Best Culture Curator Award (Group)
6. Best Comedy Maestro Award (Individual)
7. Best Mixed Language Award (Group)
8. Best Dress Award (Individual)
9. Best Selangor Compilation Award (Group)
10. Best Negeri Sembilan Compilationaward (Group)
11. Best Transition/Editing
12. Best Content Creationaward (Individual)
13. Best Influencer Award (Individual) – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok