‘Arwah S Atan yang kenalkan saya dengan bekas suami’

PELAKON Liza Abdullah, 60, mengakui sukar menepis perasaan sedih mengenangkan pemergian komposer terkemuka tanah air, Allahyarham Datuk S Atan yang meninggal dunia semalam.

Menurut pelakon drama Tujuh Hari Mencintaiku itu, persahabatannya dengan komposer tersebut telah terjalin sejak era 70-an dan dia mengakui mereka berkawan sejak dirinya masih belum mendirikan rumah tangga.

“Saya mengenali arwah sejak zaman saya belum berkahwin lagi waktu muda-muda dahulu. Balu arwah, Datin Norizan Yeob sebenarnya merupakan sahabat lama saya.

“Masa zaman muda, saya selalulah bawa Norizan menemani saya dalam industri seni sampai ke Singapura saya bawa dia. Secara tak langsung, saya juga kenalkan Norizan kepada arwah.

“Kalau nak tahu juga, arwahlah yang kenalkan saya dengan bekas suami sebelum ini. Meskipun saya sudah tidak lagi bersama bekas suami, hubungan akrab dengan S Atan tak pernah putus,”katanya kepada HibGlam.

Liza berkata demikian semasa ditemui di perkarangan Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini, hari ini.

Bagi Liza, Allahyarham S. Atan adalah seorang komposer genius yang berjasa besar dalam melahirkan karya-karya bermutu.

Menurutnya, setiap insan seni yang pernah bekerja dengan arwah pasti mengenang kebaikan dan dedikasinya.

“Di mata saya, dia sudah macam seorang abang, sudah macam keluarga. Saya ini pula dari dahulu memang suka mengusik dan bergurau dengan dia.

“Masa dia sakit sebelum ini pun saya sempat menziarahi dan mengusik dirinya demi menceriakan jiwanya. Tetapi, kalau dia sebagai seorang penerbit dan komposer, dia memang garang.

“Tetapi dia tetap seorang yang penyayang. Seluruh anak seni dalam dunia muzik yanh mengenali dan pernah bekerjasama pastk sangat merasai kehilangannya,” tuturnya.

Allahyarham S Atan disahkan meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Kajang jam 3.53 petang, semalam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok