POPULARITI tanpa sempadan sehingga apa yang dipakai menjadi rebutan, netizen menyifatkan anggota kumpulan BigBang, G-Dragon sebagai tukang pelaris produk.
Mana tidaknya, menurut sebuah laporan, jenama selipar refleksologi yang dipakai idola berusia 36 tahun itu ketika penggambaran muzik video terbaharunya dilaporkan laku keras sehingga licin di pasaran.
Bukan sekadar sold out malah selipar yang berharga RM30 (KRW8,000) itu dilaporkan mendapat tempahan awal yang tinggi menerusi laman web Coupang (kedai dalam talian).
Harga tersebut bagaimanapun dijangka bakal melonjak sehingga 10 kali ganda kerana permintaan tinggi.
Sementara itu, rata-rata netizen tidak menolak kemungkinan selipar berkenaan tular kerana harganya yang murah dan berpatutan.
Tak kurang juga ada yang berasa kagum melihat impak G-Dragon mempromosikan barangan jenama mewah mahupun produk mampu milik.
Sebelum ini, G-dragon dikenali dengan jolokan ‘Sold Out King’ kerana mampu melariskan pelbagai jenama dengan menggunakan sendiri barangan berkenaan tanpa mengharapkan bayaran.
Antara jenama yang pernah tular disebabkan bintang K-Pop itu termasuklah Nike, LH.A.S dan Casio G-Shock.