PELAKON dan pengacara terkenal, Janna Nick tidak dapat mengawal emosinya sehingga menangis teresak-esak meminta khalayak agar berhenti bertanyakan soal zuriat.
Menceritakan pengalamannya yang sering diajukan tentang anak, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner , 29, menerusi sebuah video yang dikongsikan dalam akaun Instagram mengakui sangat terkesan dengan satu komen netizen yang menuduh suaminya, Dini Azad Schatzman terlebih hormon wanita.
“Biasanya saya tak kisah sangat bila orang selalu komen bila nak ada anak. Tetapi komen yang satu ini membuatkan saya sangat terasa.
Dini ni mesti hormon perempuan banyak, sebab tu susah nak dapat anak.
“Sangat kurang ajar! Kami telah lakukan macam-macam cara untuk dapatkan anak. Saya sendiri bertanya pada Allah bila nak beri saya anak. Bila orang tanya saya, saya tak tahu nak jawab apa,” katanya.
Kongsi pengacara Famili Duo itu lagi, pada Oktober lalu telah genap setahun dia menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) namun usahanya gagal.
Sewaktu saya buat IVF, saya hanya mampu hasilkan lima telur sahaja. Untuk umur seperti saya, bilangan itu sangat teruk.
“Disebabkan itu saya ubah cara hidup saya, cara kerja saya, cara pemakanan saya. Saya ambil macam-macam ubat, ambil pil hormon sampai badan saya jadi gemuk muka saya naik jerawat. Saya tak pernah ada jerawat sebelum ini.
Apa sahaja yang saya tak buat? Orang cakap minta ibu mengandung pijak ibu kaki. Saya minta Nabila Razali (penyanyi) pijak ibu kaki saya. Saya terlampau terdesak mahukan anak,” katanya sambil menangis.
Disebabkan bengang netizen yang sering menyuruhnya melakukan pelbagai cara termasuklah minum susu untuk hamil, Janna turut membuktikan kesanggupannya minum susu dalam video berkenaan untuk memuaskan hati netizen.
Apa lagi yang anda mahukan? Tolong berhenti tanya saya pasal anak. Janganlah tanya apa-apa lagi. Hanya beri kami masa dan ruang.
“Janganlah komen benda-benda yang negatif seolah-olah kami berdua ada masalah. Kami berdua tiada masalah ” katanya.
Menjelaskan mereka berdua tiada sebarang masalah kesihatan, pelakon filem Jemputan Ke Neraka itu bagaimanapun bersyukur kerana masih ada yang mendoakannya dan memberikan sokongan untuk dia mendapat zuriat satu hari nanti. Dia juga akur ketentuan Tuhan berhubung soal anak.
Janna dan Dini berkahwin pada Jun 2023 di sebuah pusat peranginan di Langkawi. Sejak berkahwin Janna dan Dini tidak pernah merancang soal anak bahkan sering berharap segera dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM