SEORANG penonton membuat laporan di Pejabat Polis Metropolitan Las Vegas yang mendakwa cedera dibaling objek berupa mikrofon dari atas pentas.
Walaupun kenyataan itu tidak menyebut Cardi B sebagai pelaku, lokasi kejadian dan tarikh insiden pada Sabtu lalu menunjukkan kejadian merujuk hari sama penyanyi itu ‘naik hantu’.
“Menurut mangsa dia menghadiri sebuah majlis pada 29 Julai di lokasi berhampiran Las Vegas Boulevard.
Ketika konsert berlangsung, wanita berkenaan memaklumkan tiba-tiba satu benda dilemparkan kepadanya dari atas pentas,” kata pegawai polis dalam kenyataan rasmi.
Bagaimanapun, polis mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat ini atau sama ada itu individu sama yang menyimbah air terhadap bintang sensasi terbabit.
Sejak beberapa hari lalu Cardi atau nama sebenarnya Belcalis Marlenis Almanzar diperkatakan ramai apabila tular video dia membaling objek ke arah penonton.
Cardi dikatakan bertindak demikian apabila penonton menyimbah air ke arahnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab tumpuan ramai itu.
Video insiden itu juga tular dalam pelbagai platform media sosial, sekali gus mengundang perdebatan netizen.
Ketika kejadian, rapper terbabit sedang menyampaikan lagu Bodak Yellow yang dilancarkan pada 2018 dan tiba-tiba disimbah air.
Cardi kemudian bertindak mencampakkan mikrofon ke arah pelaku sebelum pengawal keselamatan meluru ke arah individu terbabit.
Rata-rata menyelar perbuatan penonton yang mengikut trend melemparkan objek atau menyimbah air kepada artis yang membuat persembahan sebagai biadap.
Sebelum ini beberapa artis turut berhadapan situasi kurang menyenangkan itu termasuk Pink yang dilitupi abu mayat ibu seorang individu manakala Bebe Rexha pula berjahit di dahi selepas dibaling telefon bimbit.
Begitupun, ini bukan insiden kekasaran pertama membabitkan Cardi kerana sebelum ini dia pernah bertindak agresif terhadap penonton yang menarik bajunya di Festival WAP, London tahun lepas.
Pada masa sama, segelintir pemerhati mengulas sebuah lagi video yang menunjukkan penyanyi terbabit meminta penonton merenjiskan air kepadanya.
Namun tidak dapat dipastikan sama ada kata-katanya itu diluahkan sebelum atau selepas melempar mikrofon.
Malah, pada malam sebelum konsert berlangsung Cardi dilaporkan melemparkan mikrofonnya ke arah DJ sebuah kelab popular yang dikunjunginya.
Perbuatan itu dilakukan gara-gara tidak berpuas hati apabila lelaki tersebut memotong lagunya lebih awal. – HIBGLAM