‘Anak-anak tak sekolah tapi mereka tetap perlu belajar’

PENYANYI yang juga balu kepada artis nasyid Allahyarham Suhaimi Saad, Ina Naim menegaskan keputusan untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi adalah demi kepentingan anak-anaknya.

Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd. Naim, 40, berkata, anak-anaknya sangat memerlukan figura seorang bapa ketika ini terutama dalam melalui fasa dewasa kelak.

“Alhamdulillah, anak-anak sekarang sebenarnya mereka sudah mula belajar dengan bakal bapa tiri mereka. Mereka juga selalu berhubung melalui telefon untuk belajar.

“Anak-anak memang tidak ke sekolah tetapi mereka tetap perlu belajar.

“Disebabkan itu, saya tidak boleh menjanda lama-lama dan duduk seorang kerana tak mampu untuk uruskan anak-anak yang meningkat usia remaja,” katanya dalam siaran langsung TikTok baru-baru ini.

Berkongsi persiapan hari bahagianya yang dijangka berlangsung pada 8 November depan, Ina memberitahu majlis tersebut hanya diadakan secara sederhana.

Majlis yang dikhabarkan akan diadakan di Johor itu juga hanya menjemput keluarga dan kenalan terdekat sahaja.

“Minta maaf kepada netizen dan kawan dalam TikTok, tak dapat jemput semua kerana saya tidak buat majlis besar pun.

“Saya buat majlis nikah sahaja dan menjamu makan untuk saudara dan rakan-rakan terdekat.

“Saya bukannya anak dara atau muda lagi dan hanya lakukan perkara wajib sahaja. Sudah tua dan ada anak-anak, takkan kita nak duduk atas pelamin untuk bersanding,” ujarnya.

Untuk rekod, Ina berkahwin dengan Suhaimi pada 12 Ogos 2007 dan hasi perkongsian hidup itu mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.

Jodoh tidak panjang, Suhaimi disahkan meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok