PROGRAM Rahmat Bahagia 2024 (RB24) kembali lagi buat kali kedua selepas mencipta fenomena tersendiri pada edisi tahun lalu yang menyaksikan perhimpunan peminat seni.
Berlangsung di Jalan Negara, Taman Melawati pada 25 hingga 27 Oktober lalu, pengunjung dibawa mengimbau nostalgia dengan konsep mengangkat objek ikonik yang dekat di hati rakyat Malaysia dari pelbagai generasi sebagai tarikan utama.
Pengasas Manggis Group selaku penganjur, Nazura Zahian Rahime, berkata pameran kali ini menampilkan tiga replika bersaiz sebenar memperincikan objek ikonik juga mencerminkan setiap generasi masyarakat Malaysia.
“Replika seperti produk Bedak Nyonya Samfong, Pensil Warna Luna dan Minyak Angin Cap Kapak ditempatkan di Lorong Seni, Jalan Negara Kita bagi membangkitkan kenangan sekali gus menyemarakkan semangat kesatuan dalam kalangan pengunjung.
“Selain pameran seni, RB24 juga menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk persembahan seni, pertunjukan muzik serta bengkel kreatif yang dibuka kepada semua peringkat usia.
“Tahun ini, acara lebih menarik diketengahkan dengan membuka peluang untuk bakat kreatif tempatan berkolaborasi dan mempamerkan karya mereka di hab seni Hulu Kelang ini,” katanya.
Selain itu, Nazura turut berbesar hati apabila RB24 meraih sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta MyCreative Venture (MYCV).
Selain itu, RB24 juga mendapat kerjasama Weststar, OKAL & Persenangan, Paling WoW, Sketchnation, Jalan Dalam, Xeem, AK45, Melawati Jam Studio, ElkaElza, PakTam Laksa dan Folk Kofii.
Mengenai keunikan Jalan Negara Kita, Nazura berkata, lorong seni itu diwujudkan sebagai ruang kreatif di mana seni dan komuniti bersatu dengan menawarkan platform kepada semua lapisan masyarakat untuk bersuara.
Katanya, lorong yang terletak di tengah-tengah Taman Melawati itu melambangkan keterangkuman, menjadi hab meriah bagi artis, penggiat seni dan penduduk setempat berkongsi idea, berkolaborasi, serta meraikan kepelbagaian budaya.
“Konsep Lorong Seni diwujudkan bagi mencipta ruang awam yang memupuk kreativiti, menggalakkan dialog dan menguatkan ikatan komuniti melalui pengalaman seni bersama.
“Dengan mengubah lorong biasa menjadi kanvas hidup, Lorong Seni bertujuan menginspirasi rasa kepunyaan, perpaduan, dan kebanggaan masyarakat,”katanya.
Dalam pada itu, Nazura juga berbesar hati kerana ruang kreatif kekal yang terletak antara Manggis dan Weststar di Taman Melawati itu turut mendapat sokongan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi pembinaan bumbung baharu yang disediakan.
Katanya, menerusi kemudahan itu, pihaknya berharap lorong khas terbabit dimanfaatkan sepenuhnya tidak kira artis, penggiat seni dan semua anggota masyarakat untuk berkarya. – HIBGLAM