SENGAJA mencipta publisiti atau meraih perhatian murahan bukanlah matlamat utama pelakon Alif Hadi mengumumkan hubungannya dengan aktres Yasmin Hani yang sudah berakhir dua bulan lalu.
Kata Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Abdul Hadi, 36, mustahil untuk menggunakan ‘gimik’ sebegitu semata-mata ingin mendapatkan perhatian peminat.
Kalau kata saya hendak meraih simpati, lebih baik saya maklumkan perpisahan itu sebelum ABP (Anugerah Bintang Popular ke-36). Tetapi sebaliknya masa hari anugerah itu sendiri saya umumkan kami sudah berpisah.
“Buat apa untuk buat gimik atau cuba mendapatkan simpati khalayak kerana saya sendiri bukan jenis yang suka mencari atau sengaja membuat cerita atau kontroversi” katanya kepada HibGlam.
Alif yang ditemui dalam konsert minggu kedua Famili Duo musim keempat (FD4) semalam turut memberitahu, biarpun berpisah hubungan dengan Yasmin tetap berada dalam keadaan baik.
Buat masa sekarang kami berkawan. Tiada sebab untuk kami bergaduh atau bermusuh. Lagu pun kami memilih untuk berpisah secara baik.
“Bukan saja dengan Yasmin, hubungan dengan anak-anak dia juga baik. Tiada sebab untuk saya memusuhi mereka (anak-anak Yasmin) sebab sewaktu mengenali Yasmin, saya juga perlu mengenali mereka.
Sepanjang tiga tahun kami bersama, saya seperti sudah memainkan tanggungjawab sebagai bapa buat mereka kerana memang sudah mula akrab dan faham dengan sikap mereka,” kata Alif.
Sementara itu, Yasmin yang turut ditemui semalam berkata, perpisahan itu tidak menghalang Alif untuk berjumpa dengan dua anaknya.
“Kami tidak perlu bergaduh lepas berpisah. Perpisahan ini juga bukanlah satu gimik untuk mencari perhatian atau sengaja mencipta publisiti.
Perpisahan ini bukan sesuatu yang kami rancang. Apa yang boleh saya kata, hubungan dengan Alif masih baik. Ini memang klise, tetapi saya mengharapkan agar kalian boleh mendoakan yang terbaik.
“Siapa tahu mungkin anak-anak juga akan membantu untuk buat saya dan Alif berbaik semula. Lagi pun sebelum ini, kami berdua sudah saling mengenali keluarga masing-masing dan pernah menyambut Aidilfitri bersama,” katanya.
Dalam pada itu, tujuan Yasmin hadir ke minggu kedua konsert FD4 kerana ingin memberikan sokongan kepada vokalis kumpulan Floor 88 iaitu Ayie Elham.
Tentulah saya ingin memberi sokongan kepada Ayie kerana dia memegang watak sebagai anak saya dalam filem Duyung: Legenda Aurora,” ujarnya.
Sebelum ini Alif mengesahkan hubungan dengan Yasmin berakhir sekitar Julai lalu. Namun, kedua-duanya memilih untuk berbaik dan tidak saling memburukkan antara satu sama lain terutama dalam media sosial.
Yasmin atau Yasmin Hani Ismail Richardson pernah mendirikan rumah tangga dengan Sha’arin yang juga pemain dram Blackrose pada 2015 dan dikurniakan dua anak iaitu Noah Ismail Wong, 10 dan Eissa Elzander Wong kini berusia tujuh tahun.
Rumah tangga yang dibina bagaimanapun hanya mampu bertahan selama 10 tahun apabila mereka memilih untuk berpisah.
Selain itu Alif turut mendedahkan pernah berkahwin dengan seorang anak tokoh politik dan bercerai pada 2018 selepas tujuh tahun berumah tangga. – HIBGLAM