PENYANYI dan penganjur konsert kelahiran Singapura, Sufie Rashid bersyukur selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan bekas rakan niaga dikenali sebagai Jai membayar ganti rugi berjumlah RM165,000 terhadapnya berhubung tuntutan kes penipuan penganjuran sebuah festival muzik di Sepang, Selangor sekitar dua tahun lalu.
Menurut Sufi atau nama penuhnya Mohammad Sufie Rashid, kes penipuan penganjuran konsert di Sepang itu turut membuatkan syarikatnya mengalami kerugian sekitar RM1.2 juta
“Kami sepatutnya nak anjurkan acara muzik di Malaysia tetapi sayangnya kena tipu dan rugi sekitar RM1.2 juta.
Dalam perjanjian, dia perlu bayar kepada saya sebanyak RM1 juta tetapi yang diterima hanya setengah juta. Kalau tak mampu, kami beri kelonggaran
“Untuk adakan acara di sini perlu melibatkan warganegara Malaysia dan syarikat itu didaftarkan di bawah nama isteri saya. Jadi, kesannya lebih dirasai oleh isteri,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media Aura Ernie Zakri Live in Concert hari ini.
Dalam pada itu, Sufie memberitahu perkara tersebut memberi impak emosi terhadap isterinya sehingga mencetuskan rasa trauma.
Kes ini memang beri impak besar terhadap kami sehingga ada klien yang mencari isteri saya. Dia juga terlalu risau dan hampir tersekat tidak dibenarkan ke luar negara serta tekanan sehingga takut nak keluar dari rumah.
“Syukur hasil melantik peguam yang bagus, keputusan mahkamah berpihak kepada kami pagi tadi.
Memang bayaran yang diterima kami tidak balik modal tetapi semua ini untuk memberi pengajaran agar tidak melakukan hal sama terhadap orang lain,” ujarnya.
Tambahnya, kes tersebut turut membuatkan beberapa perancangan dan penganjuran konsert anjuran syarikatnya, SAH Entertainment tertangguh.
“Isu ini ganggu banyak perkara tetapi lega semuanya sudah berakhir.
Kau sentuh isteri aku, memang kau akan kena. Sekurang-kurangnya ada pengajaran untuk defendan,” jelasnya.
Dalam pada itu, insiden itu turut membuatkan dia lebih berhati-hati untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menganjurkan sebarang acara.
“Kes ini buat saya susah nak percaya dengan orang.
Selepas ini memang akan ada hitam putih untuk sebarang persetujuan walaupun dengan kawan sendiri,” katanya lagi.
Hari ini, Sufie mengundang perhatian selepas memuat naik hantaran memaparkan tangkap layar surat perintah mahkamah yang mengarahkan pihak defendan perlu membayar ganti rugi am yang ditafsirkan oleh pihak mahkamah. – HIBGLAM