‘Pulangkan hak aku’ – Azza berang pekerja pecah amanah

PELAKON dan penyanyi Azza Elite kecewa dikhianati pekerjanya yang bertindak menukar kod QR kepada akaun peribadi.

Menurut Azza atau nama sebenarnya Nor Azzaeima Zawari, 46, perkara tersebut hanya disedarinya selepas melihat jumlah baki akaun hasil jualan kek.

“Kawan yang bekerja dengan saya berpesan supaya berhati-hati dengan duit. Adakah duit masuk ikut akaun syarikat ataupun akaun orang lain.

Saya sendiri perasan duit dalam akaun mendatar, seolah-oleh tiada peningkatan. Setiap kali kita nak audit jualan harian, pekerja saya tak bagi.

“Tetapi kuasa Allah, ada pelanggan yang minta ‘refund’. Jadi saya minta resit pelanggan tersebut. Dari situlah saya nampak nama akaun pekerja saya,” katanya sewaktu ditemui pada sidang media Havoc Food Festival 37.0, baru-baru ini.

Menurut Azza lagi, hasil siasatan yang dilakukan suaminya menerusi komputer riba juga mendapati setiap kali ada pembayaran daripada pelanggan, wang tersebut akan diselang-seli masuk ke dalam akaun syarikat dan akaun peribadi pekerja tersebut.

Enggan terus terpedaya, pelakon drama Sembilu itu telah melaporkan penyelewengan itu kepada pihak polis dan terkejut apabila mendapati pekerjanya ada rekod tidak baik.

Rupa-rupanya dia individu yang dikehendaki pihak berkuasa. Kalau Google nama dia mesti jumpa ramai yang telah menjadi mangsanya.

“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati jika ambil pekerja baharu. Kena selidik dahulu latar belakang mereka,” katanya.

Tidak lagi mampu menahan sabar, terbaharu Azza dilihat telah mendedahkan wajah pekerjanya itu dalam akaun media sosial.

Diam aku bukan bermakna kau boleh pijak. Dua minggu telah berakhir, aku masih menanti hak aku dan kawan-kawan sekerja kau. Hak mak dan keluarga aku yang kau ambil.

“Kau bukannya tak tahu betapa susahnya aku nak cari duit. Tapi kau ambil kesempatan disebalik kecekapan kau buat kerja.

“Duit boleh buat kita masuk neraka kalau disalah guna. Apatah lagi ambil hak orang lain,” tulisnya dalam hantaran tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok