TANGGAPAN sikap sombong hanya wujud antara selebriti dan peminat ternyata meleset apabila pelakon serta penyanyi, Azza mendedahkan realiti berlaku dalam kalangan artis.
Ujar Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 48, pengalaman tersebut bukan sesuatu yang asing, malah berlaku secara terbuka dalam industri hiburan.
“Jangan ingat kalian sahaja berdepan artis sombong. Sesama artis pun berlaku perkara sama.
“Kadang-kadang orang tidak senyum, kita senyum, dibalas sekadar senyum nipis sahaja,” katanya dalam Threads.
Pun begitu, anggota kumpulan Elite tersebut memilih untuk tidak cepat melatah, sebaliknya terus bersangka baik dalam setiap situasi.
“Tidak mengapa, biar kita mulakan senyuman. Kalau orang tidak balas, kita bersangka baik.
“Mungkin dia terlupa pakai cermin mata atau tidak nampak. Kita husnuzon sahaja,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen apabila ramai berkongsi pengalaman berdepan situasi serupa selain menyokong sikap positif ditunjukkan pelakon drama My Lovely Driver itu.
“Memang betul, kadang-kadang kita tegur tapi tak dilayan. Tapi saya setuju, kena sentiasa bersangka baik.
“Senyum itu sedekah. Kalau orang tak balas pun tak rugi kita,” kata netizen.
Namun, ada juga segelintir berpendapat sikap sebegitu tidak wajar dinormalisasikan, terutama dalam industri hiburan melibatkan figura awam.
Sebelum ini, isu artis sombong hangat diperkatakan dalam Threads selepas seorang pengguna mencetuskan perbincangan mengenai pengalaman bertemu selebriti bersikap kurang mesra. – HIBGLAM.
