Dengar ceramah agama dapat tambah ilmu – Keith Foo

SEJAK menjalin hubungan cinta dengan pelakon Riena Diana, aktor Keith Foo mengakui kerap mendengar ceramah tentang agama Islam untuk menambah ilmu bagi menjadi individu lebih baik.

Menurut Keith, 41, tindakannya mendalami agama lain bukan satu isu besar sebaliknya memberi peluang kepada dirinya mempelbagaikan ilmu.

“Tidak salah mendalami agama lain sebab kita semua boleh belajar sesuatu dan ambil setiap perkara yang baik.

“Mendengar ceramah boleh menambah ilmu saya untuk menjadi insan lebih baik. Kalau perkata positif, saya akan ambil,” katanya selepas sidang media drama Salju Rindu Di Bumi Auckland di sini, baru-baru ini.

Tambah bintang drama Ariana Rose itu, dia bertanya dan merujuk kepada Riena berkaitan hal agama termasuk amalan bersedekah.

“Ada masa memang saya kurang faham kemudian akan bertanya kepada Riena.

“Contoh, ketika sambutan Maulidur Rasul, saya tanya Riena apa yang boleh buat untuk tambah pahala, dia kata mungkin boleh bersedekah.

“Jadi, secara tidak langsung, saya dapat membantu golongan yang memerlukan dan gembira dapat melakukan perkara sebegitu,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia menegaskan tidak risau dengan pandangan ramai apabila terbuka berkongsi kemesraan dengan Riena dalam media sosial.

Dia sebaliknya mengambil pendekatan untuk enggan menghiraukan komen negatif netizen.

“Saya tidak kisah tentang negativiti kerana semua itu bukan boleh berlaku dalam hubungan sahaja tetapi wujud dalam apa jua keadaan.

“Kalau ada yang bercakap negatif, saya tidak ambil kisah tetapi nilainya sebagai satu bentuk pengajaran.

“Bukan hak saya untuk halang apa orang luar cakap, saya tiada hak untuk tentukan hidup mereka (netizen),” katanya lagi.

Pada Jun lalu Riena mendedahkan hubungan cinta mereka terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama Salju Rindu untuk siaran TV3.

Mengakui mempunyai banyak persamaan, status duda anak satu juga bukan penghalang kerana baginya paling penting Keith bukan suami orang.

Keith pula pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Kim Raymond pada November 2015 namun bercerai empat tahun kemudian.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok