Kami tak pernah terima sumbangan GISBH – Rabbani

RABBANI tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada GISBH.”

Demikian respons kumpulan Rabbani yang menafikan dakwaan pernah menerima sumbangan atau dana daripada syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Ujar anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 51, mereka tidak pernah bekerjasama atau terbabit dengan syarikat itu sejak Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan kumpulan Al-Arqam pada 1994.

“Kami tidak berasa malu atau takut untuk mengakui kami adalah bekas pengikut Al-Arqam, pernah bersekolah di situ dan turut mengasaskan kumpulan nasyid.

Namun, selepas Al-Arqam diharamkan 30 tahun lalu, kami meninggalkannya selain langsung tidak terlibat sama sekali dengan GISBH.

“Saya sendiri pernah beberapa kali dijemput menghadiri program Aidilfitri pihak terbabit, bukan tidak mahu hadir cuma saya rasa pelik kenapa tiba-tiba dijemput,” katanya.

Bukan itu sahaja, Azadan turut mendedahkan kerenggangan antara mereka dan pihak di sebelah sana disebabkan keengganannya untuk menyertai GISBH.

“Peringkat awal (bertemu) GISBH, mereka salam pun tidak mahu. Jadi bagaimana kita mahu dekat dengan mereka?

Tetapi sebagai manusia, kalau saya ada persembahan di negeri lain dan tiada tempat lain untuk makan, saya makan sahaja di restoran mereka. Kita pun rasa kekok sebab orang tidak mahu kita.

“Cuma saya masih berkawan dengan sebilangan kecil daripada mereka yang merupakan teman lama saya. Kadang-kadang ada juga dengar cerita yang tidak masuk akal. Sebab itu, kalau hendak bercakap pun, saya berhati-hati,” dedahnya.

Tambah Azadan, susulan pelbagai kontroversi membabitkan GISBH, dia selaku bekas pengikut Al-Arqam menyeru ahli gerakan itu untuk kembali ke pangkal jalan.

“Benda yang berlaku terhadap GISBH hari ini, mereka kena terima sebulat hati. Apa yang saya boleh cakap, kembalilah ke pangkal jalan kerana taasub ini sangat berbahaya sehingga boleh hilangkan akal fikiran kita.

Semasa Al-Arqam diharamkan dulu, kami tidak memberontak. Ikut sahaja arahan kerajaan pergi ke pusat pemulihan akidah. Kemudian kami sedar kita ini milik masyarakat dan bukannya hanya untuk golongan tertentu sahaja.

“Sebab itu kami bernasyid untuk menyebarkan dakwah agar boleh diterima masyarakat,” tegasnya.

Pada awal September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Global serta menyerbu rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan agama.

Serbuan itu menyaksikan sejumlah 572 mangsa berjaya diselamatkan dan membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pihak pengurusan tertingginya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok