Kilang saya bersih, bukan masak tepi jalan – Zarina Zainuddin

PELAKON dan usahawan Zarina Zainuddin memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pekerjanya yang membuat pelbagai dakwaan mengaibkan terhadap dirinya dalam media sosial.

Antara dakwaan yang dilakukan adalah tahap kebersihan kilang membuat pulut kuning miliknya yang dikatakan dicemari dengan najis tikus serta menggunakan wang pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) bernilai RM1 juta untuk kepentingan peribadi.

Menurut Zarina atau nama lengkapnya Nur Zarina Mohd. Zainuddin, 56, dia mengenali individu yang membuat hantaran dalam akaun Threads tersebut, namun enggan mengambil tindakan saman kerana tahu individu tersebut tiada wang.

Saya tahu dia sebenarnya adalah bekas pekerja saya yang diberhentikan kerja. Saya tahu dia tiada duit. Kalau saya lawan dia, dia nak bayar pakai apa? Dia bukan lawan saya.

“Kilang saya ada sijil halal, Mesti dan sebagainya. Saya bukan masak di tepi jalan. Kilang saya bersih. Kalau ada makanan yang rosak dan tercemar, kita akan buang.

“Lagipun kita bukan buat pulut kuning setiap hari. Kita cuma buat kalau ada pesanan dan setiap kali saya sertai festival makanan,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Suria FM, semalam.

Bercakap tentang wang pinjaman Mara bernilai RM1 juta, kata pelakon drama Teduhan Kasih itu, perkara tersebut tidak boleh dipertikaikan.

“Duit itu adalah urusan syarikat. Dia tak boleh pertikaikan kerana dia tiada kena-mengena dengan syarikat. Tak ada nama dia pun dalam syarikat.

Pihak Mara sendiri datang lihat kilang kami. Mereka tiada masalah selagi kita bayar. Saya gunakan duit tersebut untuk membeli peralatan kilang.

“Dan setiap bulan saya bayar semula pinjaman. Tiada masalah kecuali kalau tak bayar. Nak dapat pinjaman itu bukan senang. Ada banyak syarat-syarat yang ditetapkan. Walaupun kita nak meminjam, tetapi kita sendiri kena ada duit. Kalau tak ada duit tak boleh pinjam apa-apa,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia bimbang tuduhan yang dilemparkan akan menjejaskan perniagaan serta reputasi syarikatnya, kata Zarina dia sentiasa percaya kepada rezeki Tuhan.

Saya yakin dengan produk saya sendiri. Saya sudah lama dalam industri ini. Saya percaya dengan rezeki Allah. Kalau Allah tetapkan bisnes saya tak laku, maka tak lakulah.

“Tiada apa perlu dirisaukan. Orang yang dah biasa beli, makan dan datang ke kilang saya mereka tahu macam mana,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok