Bertahun saya dibuli, dipulau, kini rasa disayangi – Azeva

BARU sahaja melepasi minggu kedua rancangan Talk To My Manager musim kedua (TTMM 2), nama Azeva Natassha yang merupakan anak kedua kepada Datuk A. Aida bersama bekas suami, Ameng Spring pantas menangkap perhatian ramai.

Hadir dengan pakej seorang bintang, kemunculan Azeva atau nama lengkapnya Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, dalam TTMM2 sudah mula dinantikan khalayak.

Selain popular menjadi tatapan dalam televisyen, si cantik itu juga semakin menjadi kegilaan netizen dalam media sosial.

Sesi siaran langsungnya dalam platform media sosial TikTok juga sering ditunggu netizen.

“Sejujurnya saya tidak sangka sepantas ini dikenali. Macam tak percaya ada orang kenal saya. Bila di luar, sudah ada yang mahu mengambil gambar.

Jumlah pengikut akaun media sosial saya juga naik mendadak, khususnya TikTok.

“Saya sangat bersyukur dengan penerimaan ramai. Saya masih cuba beradaptasi dengan situasi ini,” katanya.

TIDAK sekadar bersandarkan rupa dan latar belakang keluarga, Azeva membuktikan dirinya bukan ‘kosong’. Selain menyanyi, berlakon, dia juga penerbit dan bertanggungjawab sebagai akauntan syarikat produksi milik ibunya. – Solekan & Dandanan: AZMIER HISYAM

Produk nepotisme

Lahir dalam keluarga seni, si bapa rockers, manakala ibu pula penerbit terkenal, secara tidak langsung Azeva terpalit isu nepostisme atau ‘nepo baby’.

Bukan isu baharu, budaya ini sudah wujud sekian lama dan sudah berakar dalam industri.

“Bila orang kata saya ‘nepo baby’, memang ibu bapa saya selebriti. Bukan salah saya jika bapa saya seorang penyanyi legenda dan ibu pula penerbit.

Tetapi saya enggan menjadi ‘nepo baby’ yang hanya bersandarkan ‘kabel’ atau pengaruh kedua-dua orang tua.

“Saya mahu masuk dalam industri ini bukan dengan tangan kosong.

“Mama tak benarkan saya berlakon jika saya belum betul-betul mahir dan faham apa itu lakonan. Dia tidak mahu saya malukan diri sendiri,” ujarnya.

TIDAK sekadar bersandarkan rupa dan latar belakang keluarga, Azeva membuktikan dirinya bukan ‘kosong’. Selain menyanyi, berlakon, dia juga penerbit dan bertanggungjawab sebagai akauntan syarikat produksi milik ibunya. – Solekan & Dandanan: AZMIER HISYAM

Berkorban untuk cantik

Tidak dinafikan, Azeva memiliki wajah jelita. Kulitnya putih mulus, rambut hitam ikal mayang serta sifat manjanya pasti akan membuat sesiapa sahaja tertawan dan jatuh hati.

Namun Azeva enggan menggunakan kecantikan sebagai senjata untuk memiliki sesuatu dengan mudah.

Sebenarnya untuk dapat wajah yang saya ada sekarang ini tidak mudah. Lama saya tunggu untuk dapat wajah seperti hari ini. Kalau tengok gambar saya dulu, mesti orang tak percaya dan akan kata saya buat sesuatu pada wajah saya.

“Begitu juga dengan bentuk tubuh saya. Dahulu saya lebih besar daripada sekarang.

“Banyak perkara yang saya perlu korbankan terutamanya aktiviti ‘outdoor’. Saya suka bersukan, gemar menunggang kuda. Tetapi saya terpaksa tinggalkan kerana tidak mahu terdedah bawah cahaya matahari terlalu lama,” jelasnya.

Pernah jadi mangsa buli

Menyingkap kisah hidupnya, siapa sangka zaman kanak-kanak yang dilalui Azeva tidak seindah yang disangka.

Sejak tadika, dia sering menjadi mangsa buli rakan sebaya. Situasi tidak menyenangkan itu berlarutan sehingga dia berusia 15 tahun.

“Sudah menjadi lumrah kalau jadi anak selebriti mesti akan jadi mangsa buli. Kawan-kawan saya anak selebriti yang lain pun melalui pengalaman serupa.

Dipulaukan itu perkara biasa. Ada yang benci saya gara-gara lelaki yang mereka suka, sukakan saya. Sampai saya difitnah.

“Sebab itu bila saya semakin dikenali dan diminati, saya seronok. Kerana dahulu saya tak ramai kawan. Sekarang saya rasa disayangi,” luahnya.

Ujarnya lagi, pengalaman menjadi mangsa buli dijadikan sebagai perisai untuk terus kuat menghadapi cabaran akan datang khususnya berhadapan dengan netizen ataupun ‘haters’.

“Saya bersedia untuk menghadapi realiti dunia masa kini. Bertahun-tahun saya dibuli.

Pengalaman pedih itu membentuk saya menjadi lebih kuat dan bersedia berdepan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku nanti,” tegasnya.

 

Pentingkan akademik

Mempunyai ibu dan bapa yang merupakan nama besar dalam industri hiburan, laluan Azeva ke dunia glamor pastinya mudah.

Berpegang prinsip, Azeva bagaimanapun enggan menggunakan jalan pintas itu tanpa ilmu di dada.

“Saya seorang yang pentingkan pelajaran. Sebab itu saya beritahu mama mahu habiskan pelajaran sebelum masuk industri hiburan.

Lepas tamat belajar di Australia, barulah saya bersedia menyanyi dan berlakon. Sewaktu habis SPM, saya pilih bekerja dulu sebelum sambung belajar. Saya pernah kerja di kedai buku dan menjadi barista.

“Saya mahu belajar berdikari,” katanya yang merupakan graduan Victoria University Melbourne.

MESKI baru berusia 25 tahun, Azera yang juga seorang akauntan sudah memiliki rumah produksi dan bakal muncul dengan filem Bisikan Nafsu tidak lama lagi. – Busana: MAGLIFESTYLE

Ada produksi, terbit filem

Biarpun baru berusia 25 tahun, Azeva sudah berani mengikut jejak langkah ibunya dengan membuka rumah produksi sendiri. Lebih membanggakan dia berjaya menerbitkan filem pertama berjudul Bisikan Nafsu yang akan ditayangkan di pawagam September depan.

“Saya anggap ini semua rezeki. Rugi kalau saya tak ambil peluang ini. Tak salah mencuba. Lagipun mama sudah ada banyak pengalaman sebagai penerbit. Jadi saya banyak belajar daripadanya.

Saya lihat dia bekerja daripada saya kecil. Dia membuatkan saya rasa mahu menjadi hebat sepertinya.

“Sebelum ini syarikat saya sudah menerbitkan beberapa telefilem. Mama yang sarankan supaya saya terbitkan filem.

“Jadi saya beranikan diri terbitkan filem pertama dan cabar diri untuk berlakon di samping Aniq Suhair,” kongsinya.

Tambahnya, dia sentiasa memikirkan masa depan termasuk apa akan jadi sekiranya orang tua sudah tiada.

Waktu mama sakit dan masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) baru-baru ini, saya baru tersedar macam mana nanti jika saya betul-betul hilang mama.

“Jadi saya perlu buat persediaan untuk menghadapi masa depan. Sekarang saya masih bekerja untuk syarikat mama membantu uruskan kewangan syarikat. Saya seorang yang sukakan matematik dan akaun. Sebab itu saya sambung pelajaran dalam bidang ini,” jelasnya yang juga merupakan seorang akauntan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok