Bersinar dengan cara unik

NAMPAK senang, hakikatnya bukan mudah untuk bertapak dalam industri hiburan terutama di Korea Selatan.

Lebih-lebih lagi muncul sebagai sebuah kumpulan yang menuntut kerjasama padu daripada setiap ahli agar tidak berpecah.

Selain kekal bersama, setiap selebriti juga perlu mencari jalan agar lebih menonjol berbanding penyanyi lain.

Kali ini, Daebak menyenaraikan kumpulan K-pop yang mampu menyerlah dengan cara unik tersendiri.

Stray Kids

Kumpulan Stray Kids kini mendominasi industri hiburan K-pop.

Mereka juga menjadi pesaing kumpulan sedia ada selain kerap memecahkan pelbagai rekod sehingga dianggap legenda K-pop.

Keunikan mereka adalah dapat mengukir pelbagai kejayaan hebat sejak debut pada 2017.

Pihak agensi iaitu JYP Entertainment meletakkan kepercayaan kepada ketua kumpulan, Bang Chan memilih ahli  dalam program realiti.

Dikatakan pilihan Bang Chan sememangnya tepat kerana kesemua anggotanya menonjol sehingga mampu mendunia dan mampu mengekalkan kedudukan kumpulan itu sehingga hari ini.

Big Ocean

Kumpulan pertama yang menduduki senarai artis K-Pop unik ialah Big Ocean yang debut sekitar bulan lalu.

Big Ocean merupakan kumpulan K-pop pertama yang ada masalah pendengaran.

Mereka memulakan kerjaya dengan lagu Glow dan menggunakan gabungan bahasa isyarat Korea,  Amerika dan antarabangsa yang disatukan dalam koreografi tarian.

Kumpulan dengan tiga ahli itu meluahkan hasrat mahu merapatkan jurang antara individu kurang upaya dengan mereka yang normal.

Aespa

Aespa kumpulan K-pop unik yang wujud dalam dunia nyata dan maya.

Di dunia maya, setiap ahli mempunyai avatar tersendiri dikenali sebagai ae yang dicipta berdasarkan data dimuat naik kumpulan itu dalam internet.

Kaya dengan pengetahuan, kumpulan wanita itu berada di kemuncak dan mencipta nama dengan cara berbeza.

Berdasarkan prestasi Coachella 2022, Aespa berada di carta teratas, bahkan mereka membuktikan bahawa konsep unik adalah titik jualan.

NCT

APABILA bercakap mengenai kumpulan K-pop unik, NCT antara kumpulan yang terlintas dalam fikiran.

Memiliki anggota paling ramai iaitu  26 ahli dan dibahagikan kepada enam unit, NCT sememangnya satu konsep berbeza.

Digelar sebagai kumpulan lelaki paling eksperimental K-pop, NCT atau Neo Culture Technology, terbahagi kepada NCT U, NCT 127, NCT Dream, WayV, NCT DoJaeJung dan NCT Wish.

Kesemua mereka mempromosikan kumpulan secara berasingan tetapi kemudian akan bersatu sebagai kumpulan besar bagi merakam album penuh.

Dengan unit yang berkembang, NCT mengukuhkan kedudukan mereka dalam sejarah K-pop, sekali gus menjadi inspirasi kepada kumpulan lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok