KEMELUT rumah tangga yang melanda pasangan selebriti Nur Fazura dan Fattah Amin turut membuatkan Fasha Sandha dirundung perasaan sedih sehingga membuatkan air mata aktres itu gugur.
Menurut Fasha, dia telah mengenali dan berkawan dengan Fazura sejak berusia 17 tahun dan baginya, apa yang dilalui Fazura turut menimbulkan rasa sayu di hatinya sebagai seorang sahabat.
Malah, Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 40, turut mengenang kembali jasa Fazura yang banyak membantunya ketika dirinya bergelar ibu tunggal suatu ketika dahulu.
“Saya dan Fazura kenal sejak usia saya 17 tahun, Fattah pula kawan dengan Aidil. Dua-dua rakan saya. Saya rapat dengan Fazura. Fazura adalah antara selebriti yang saya idolakan.
“Saya dan suami tidak pernah bersembang fasal rumah tangga artis lain. Tetapi apabila melibatkan Fattah dan Fazura, kami berdua sangat emosi sehingga menangis.
“Saya menangis sebab ingat pengorbanan Fazura beri baju raya sampai 20 pasang pada saya. Air mata ini bukan drama, kalau boleh tak mahu nangis namun apa yang terjadi adalah dugaan untuk Fazura dan keluarga.
“Fazura sentiasa layan saya dengan baik. Saya kenang budi Fazura. Dia tidak pernah lupa memberikan saya baju raya sepanjang tiga tahun saya bergelar ibu tunggal,” katanya pada acara Zumba With Abby Abadi dan pelancaran produk terbaharu Inayah Beauty iaitu Honey Lemon di ibu kota, semalam.
Pelakon filem Anak Halal itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak terus tampil membuat spekulasi berhubung urusan rumah tangga Fattah dan Fazura selain berharap agar semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat mereka.
“Fattah dan Fazura datang dari keluarga yang baik. Hanya Fattah dan Fazura yang tahu kisah sebenar.
“Tidak perlu juga buat kronologi sendiri, apa yang sepatutnya kita buat adalah mendoakan yang terbaik buat mereka. Jangan tambah yang bukan-bukan kerana itu boleh menambah kedukaan pada hati Fattah dan Fazura,”katanya.
Fasha berkata, dia tidak mudah menghakimi tindakan aktres berkenaan yang menuntut perceraian.
“Saya mendoakan yang baik-baik buat mereka. Sebagai sahabat sudah pasti tidak mahu melihat dia di fasa terendah, namun hanya Fazura tahu apa yang dia lalui.
“Kenapa dia minta cerai, hanya dia yang tahu sebab hati wanita ini ada hadnya. Saya juga pernah melalui kegagalan dalam perkahwinan. Saya pernah failkan perceraian terhadap bekas suami iaitu Jejai,”katanya.
Pada 13 September lalu, Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Menerusi sebutan kes permohonan perceraian yang berlangsung pada Rabu, mahkamah meminta pasangan selebriti itu menyelesaikan konflik rumah tangga mereka di luar mahkamah sebelum tarikh sebutan semula pada 7 Oktober depan.
Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun. – HIBGLAM
View this post on Instagram