Penampilan pelakon Siti Saleha pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 menarik perhatian rakyat Korea Selatan.
Rata-rata kagum dengan kecantikan Saleha atau nama lengkapnya Siti Saleha Mohd. Baharum, 34, yang menggayakan gaun labuh berona kuning dengan solekan tipis.
Seorang pengguna aplikasi X berkata, pelakon drama SeOfis itu menjadi tumpuan media Korea Selatan sehingga beberapa artikel mengenainya tular dalam laman Naver.
“Pelakon Malaysia Siti Saleha mempunyai artikel yang tular dalam Naver! Semua puji busana dan kecantikannya di SDA (Seoul Drama Awards),” tulisnya.
Naver merupakan laman web popular di Korea Selatan dan mempunyai system enjin carian tersendiri seperti Google dan Yahoo.
Dalam masa sama, ada yang memuji penampilan Saleha yang kelihatan seperti watak Disney Beauty And The Beast iaitu Belle.
“Dres dan penampilan keseluruhannya kelihatan seperti Belle. Cantik,” kata pengikut.
“Saleha memang sangat cantik. Tumpang berbangga, dia layak dengan tumpuan ini,” ujar peminat.
“Siapa tahu satu hari nanti pengarah Korea akan memberikan tawaran berlakon kerana dia merupakan pelakon yang bagus,” tutur pengikut lain.
Selain itu, artikel yang ditulis turut memuji keramahan aktres itu melayan peminat ketika acara karpet merah.
Malah, sikap mesra yang ditonjolkan Saleha saat melambai di hadapan kamera turut menerima reaksi positif media di negara kimchi itu.
Semalam, Saleha dinobatkan sebagai pemenang trofi Bintang Asia Terbaik pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 dan menganggap kemenangan tersebut bukan sahaja menjadi momen indahnya seorang tetapi satu pencapaian istimewa buat tanah air.
Saleha dicalonkan dalam kategori Bintang Asia Terbaik menerusi drama siri asal berjudul SeOfis yang disiarkan dalam platform digital Tonton.
Menerusi kategori tersebut, aktres berkenaan berjaya menewaskan lima lagi persaingan termasuk barisan pelakon dari Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura. – HIBGLAM