Tegkang curi tumpuan di acara filem, Lift-Off Sessions

Tegkang, sebuah filem Malaysia yang mengisahkan kehidupan di dataran tinggi Bario, Sarawak, telah dipilih sebagai pemenang sesi untuk Anugerah Pembikin Filem Baru Terbaik di First-Time Filmmaker Showcase, sebahagian daripada acara berprestij Lift-Off Sessions.

Kemenangan ini  melayakkan filem tersebut untuk bersaing di pusingan akhir Season Awards, sebuah acara tahunan di Pinewood Studios, London, di mana projek-projek terbaik musim Lift-Off diraikan.

Tegkang mengisahkan kehidupan di sebuah kampung terpencil, di mana sebuah rahsia yang disimpan rapi selama bertahun-tahun mula terbongkar dengan kehadiran seorang pengunjung yang menjalin persahabatan dengan seorang gadis di kampung tersebut.

Filem ini memaparkan keunikan Bario bukan sahaja sebagai lokasi indah yang menarik, tetapi juga sebagai tempat yang kaya dengan pengalaman budaya, termasuk perayaan tradisional dan upacara turun-temurun yang jarang dilihat oleh dunia luar.

Penulis dan pengarah filem Tegkang, Josh Nawan, meluahkan rasa terujanya dengan kemenangan tersebut.

“Saya berasa bangga kerana Tegkang, yang bermaksud ‘Pelangi dalam bahasa Kelabit, mendapat tempat dalam kalangan juridan diiktiraf bersama begitu banyak filem hebat lain.

Masyarakat Kelabit, sebuah kaum Dayak pribumi dari tanah tinggi Sarawak, Malaysia, jarang diwakili dalam dunia seni, jadi pengiktirafan ini sangat bermakna bagi kami.

Saya amat menghargai peluang untuk berkongsi kisah yang berakar umbi dalam warisan sebegini dan bersyukur kerana filem ini akan disiarkan kepada lebih ramai lagi penonton di luar sana,” katanya. 

Tegkang menampilkan pelakon popular iaitu Syafie Naswip dan Michelle Lungan yang merupakan teraju utama  dalam filem berkenaan.

Sementara itu, Penerbit Tegkang, Lyn Nasihin, turut berbangga dengan kejayaan ini.

Filem ini merupakan bukti komitmen pasukan kami dalam menyampaikan karya asli daripada Malaysia, dan anugerah ini mengiktiraf usaha serta semangat kolektif yang dicurahkan untuk pembikinannya.

“Tegkang menggabungkan tema-tema kesetiaan, perpaduan, pilihan, dan kebebasan sambil mencabar pandangan konvensional mengenai ketidakupayaan. Kami berharap agara filem ini akan membantu menarik lebih banyak perhatian kepada pelbagai karya yang ditawarkan oleh industri filem Malaysia,” katanya.   

Lift-Off First-Time Filmmaker Sessions adalah pameran bulanan dalam talian yang didedikasikan untuk menyokong karya pengarah-pengarah baru dan menayangkan koleksi filem indie pendek dan panjang dari seluruh dunia.

Pertandingan ini terdiri daripada dua pusingan: pusingan pertama di mana penonton global mengundi filem kegemaran mereka, diikuti dengan penilaian terperinci oleh juri dalaman Lift-Off. Para pemenang mendapat pendedahan yang luas, termasuk peluang untuk mempersembahkan projek masa depan di Pinewood Studios, salah satu studio filem yang terkemuka di dunia.

Pameran ini telah menjadi batu loncatan untuk ramai pembikin filem indie, menawarkan peluang untuk dikenali oleh penonton baru dan profesional industri.

Sebagai pemenang Lift-Off First-Time Filmmaker Sessions, Tegkang akan ditayangkan kepada penonton yang lebih luas dan bersaing untuk pengiktirafan lebih lanjut di Season Awards.

Pencapaian ini adalah satu kejayaan penting bagi komunitifilem Malaysia, bagi menyinari bakat baru serta membuka peluang untuk filem-filem Malaysia ke pentas antarabangsa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok