LARIS bak pisang goreng panas. Siti Khadijah, antara nama pelakon wanita yang semakin ‘mendunia’ dalam industri seni tanah air.
Masakan tidak, ada sahaja wajahnya menghiasi drama tempatan. Bukan watak picisan tetapi menjadi teraju utama, barangkali itu yang dinamakan rezeki.
Meletakkannya sebagai antara pelakon dikenali ramai ketika ini bukan satu perkara yang aneh, namun si empunya diri menolak untuk dilabel sebegitu agar tidak mudah hanyut dengan populariti.
Baginya, populariti adalah satu perkara bagus tetapi sekiranya disalah guna, mampu memakan diri sendiri sehingga nama seseorang selebriti boleh dilupakan sekelip mata.
“Hendak cakap soal populariti atau kecantikan, ramai yang lebih menarik dan dikenali daripada saya, apatah lagi daripada segi bakat.
Saya sebenarnya tidak mahu letak diri sebagai artis popular sebab tak mahu rasa riak, bongkak atau lupa diri.
“Saya cuba rendahkan diri kerana percaya Tuhan boleh beri dan tarik (nikmat) bila-bila masa,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Baginya, nikmat namanya dikenali pada hari ini adalah hasil usaha kerja keras sendiri dan bukannya disebabkan mencetuskan kontroversi seperti segelintir selebriti tanah air lain.
Bukan hanya bakat dan hasil kerja, sokongan peminat tidak berbelah bahagi juga antara yang meletakkan dirinya berada di posisi sekarang.
“Saya tidak popular, hanya biasa-biasa sahaja cuma ada sokongan kuat. Saya juga beritahu peminat, usah bazir duit undi saya dalam sesebuah acara anugerah.
Bukan itu sahaja, saya selalu ingatkan para peminat agar tidak menghabiskan duit mereka setiap kali tibanya hari lahir saya.
“Sokongan mereka yang ada bersama saya ketika ini pun sudah mencukupi. Sokong dan tengok drama saya pun sudah cukup,” tutur pelakon berusia 27 tahun itu.
Tidak pernah mengharapkan sokongan menggunung tinggi, bekas juara Gadis Panca NR 2018 itu hanya meminta peminat menitipkan sokongan sehingga usianya mencecah 50 tahun.
Saya hanya harap peminat terus menyokong kerjaya sebagai pelakon sehingga sampai usia saya 50 tahun.
“Tidak menang sebarang trofi pun tak mengapa,” ujarnya.
Sokongan peminat tersebut jelas dapat dilihat menerusi kejutan di set penggambaran drama Rahsiamu Selamat Denganku baru-baru ini yang dihadiri sekitar 30 orang peminat yang juga ahli kelab, Sweeties of Siti.
Lebih membuatkan dirinya terharu apabila peminat yang hadir termasuk dari Singapura turut membawa sebuah trak minuman seperti yang sering dilakukan peminat selebriti luar negara seperti di Korea Selatan.
“Ini bukan kali pertama mereka buat kejutan dengan menghantar trak makanan. Ini kali kedua mereka buat.
Sebelum ini, mereka hanya hantar trak makanan. Kali ini, mereka datang bersama. Saya memang sangat terharu melihat mereka sanggup datang dan berjumpa saya.
“Sokongan sebegini yang sukar untuk kita dapat daripada peminat hari ini,” katanya lagi.
Sempat dilayangkan persoalan tentang pandangan peminat yang meletakkan dirinya sebagai pelapis heroin hebat tanah air, tuan badan hanya tersenyum malu.
Baginya, gelaran tersebut terlalu besar untuk diberikan terhadapnya yang kurang 10 tahun berada dalam industri seni.
Jauh lagi benda itu. Berat dan rasa tekanan juga bila orang cakap begitu.
“Perkara itu beri saya tekanan untuk setiap projek lakonan sebab risau tidak beri hasil yang terbaik untuk peminat khususnya,” jelasnya.
Kongsi pelakon drama Wanita Syurga itu, tekanan tersebut membuatkan dirinya terlalu banyak berfikir sehingga boleh mengganggu konsentrasi ketika bekerja.
“Bila banyak berfikir tentang perkara itu, saya akan sukar untuk melakukan sebarang kerja.
Bagi menenangkan fikiran, saya anggap semua itu sekadar pujian dan terima kasih kerana memandang seorang Siti Khadijah sebagai pelapis heroin hebat tanah air.
“Apa yang boleh saya janji adalah terus memberikan hasil kerja terbaik mengikut permintaan skrip dan pengarah,” tuturnya yang tidak lekang dengan senyuman.
Ditanya mengenai lakonannya yang sering meraih pujian sehingga tular dalam media sosial, dia memberitahu semua usahanya diberikan mengikut jumlah bayaran untuk sesebuah projek.
“Kalau sesebuah projek itu bayar saya mengikut jumlah tertentu, saya akan beri lakonan yang setimpal dan berbaloi.
Saya tak akan sia-siakan setiap bayaran tersebut. Komitmen terhadap kerja sangat tinggi termasuk urusan promosi dalam media sosial.
“Bayaran yang saya raih hari ini bukannya mendadak begitu sahaja tetapi semuanya dinilai berdasarkan hasil kerja. Bukan sebab populariti semata-mata,” ujarnya lagi.
Berkongsi tentang Rahsiamu Selamat Denganku, dia teruja tersenarai dalam barisan pelakon drama arahan Jade (Blimey) & Faliq Sharif itu.
Menurutnya, jalan cerita drama tersebut mungkin klise, namun meminta orang ramai menonton terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian negatif.
Jalan cerita dan ada beberapa karakter yang akan anda lihat seperti dalam drama Korea tetapi semua itu sekadar kebetulan.
“Genre memang lain dan bukan adaptasi daripada mana-mana drama.
Mungkin apabila sudah disiarkan nanti, pasti akan ada yang menyamakannya dengan drama lain tetapi hakikatnya, semua cerita memang ketengahkan isu sama iaitu kisah cinta dan curang.
“Harap penonton tidak mendiskriminasikan dan memberi peluang kepada naskhah tempatan,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Dalam masa sama, dia mengakui tawaran drama tersebut tidak mampu ditolak kerana mengetengahkan ‘vibe’ seperti drama Korea atau K-drama.
Sebagai peminat industri seni Korea, bila dapat tawaran drama ini memang teruja sebab nak tengok sisi Siti Khadijah yang lain.
“Ditambah pula dapat bergandingan dengan Alvin Chong. Seronok walaupun memerlukan seminggu juga untuk selesa bersama.
Dia sangat bagus dan memudahkan kerja termasuk seluruh produksi.
“Saya memang suka melihat hasil kerja Jade Blimey, jadi tawaran ini memang tak akan saya lepaskan,” ujarnya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM