OGOS dan September lazimnya menjadi bulan paling patriotik, semalam kita semua baru meraikan hari istimewa, sambutan
Hari Kemerdekaan ke-67, dan dalam tempoh dua minggu dari sekarang, semangat nasionalisme kembali meremang dengan aroma cinta negara menjelang Hari Malaysia pada 16 September. Dua tanggal tersebut memberi makna besar buat negara.
Bukan sekadar bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi tanah ini sudah matang dalam menghargai nikmat kemerdekaan serta semangat perpaduan kaum berbilang bangsa.
Berkongsi semangat kemerdekaan yang masih menebal, pelakon meningkat naik, Nabil Aqil pula melihat erti kemerdekaan menjurus ke arah pemikiran.
Sebagai anak muda yang tumbuh dalam ketika dunia berdepan ledakan teknologi, baginya kebebasan bukan bermaksud berhak melakukan apa sahaja. Sebaliknya, setiap langkah perlu bertepatan dengan landasan agama.
“Erti kemerdekaan bagi saya ialah bebas daripada ideologi penjajah, berbangga dengan budaya dan adat resam yang kita miliki di samping menyantuni setiap perbezaan (kepelbagaian kaum) dengan iltizam berlandaskan fitrah Islam,” bicara berhemah.
Jawapan pemuda berusia 26 tahun itu lain benar daripada jangkaan penulis. Biarpun tingkahnya sedikit gila-gila sementelah jiwa masih sarat dengan darah muda, tetapi jawapan yang dilontarkan mencerminkan kebijaksanaan dan kematangannya fikirannya.
Menyambung cerita tentang semangat patriotik, anak kelahiran Perak itu menjadikan Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebagai idola.
“Bagi saya Almarhum mempunyai ciri kepimpinan yang berwibawa dalam pelbagai bidang. Beliau juga merupakan antara pejuang kepada kepada kebebasan negara daripada campur tangan penjajah.
“Jiwa kental dan semangat jati diri yang tinggi membuatkan saya tertarik dengan personaliti beliau. Pendirian beliau yang teguh berpegang kepada kata-kata harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, membuatkan saya sedar tentang tanggungjawab manusia itu bukan sahaja hidup untuk diri sendiri.
“Sebaliknya mengambil kira tentang orang sekeliling untuk turut serta mencapai matlamat bersama,” katanya.
Usai berbicara tentang semangat patriotik, ceritanya kemudian terarah kepada kerjaya lakonan selepas menyertai program realiti Hero Remaja 2017.
Tersenarai sebagai finalis, pemilik nama lengkap Mohammad Nabil Aqil Mohd Salehuddin itu berjaya meraih gelaran Hero Favourite hasil undian peminat dalam talian.
Biarpun terlebih dahulu menyertai program itu, namun namanya lambat kembang mekar berbanding barisan pelakon lain seperti Amir Ahnaf, Amirul Aiman, Jazmy Juma, Meeqeen dan Nadhir Nasar. Rata-rata semuanya merupakan peserta antara 2019 hingga 2021.
Tidak melihat dirinya ketinggalan di belakang, Nabil dengan semangat menyimpulkan semua orang mempunyai jalan cerita hidup masing-masing.
Baginya, tumpuan sebenar untuk bergelar anak seni bukan untuk mengejar populariti. Habuan glamor bukan fokus utama sebaliknya kualiti karya dan lakonan yang ingin dikejar.
“Saya tidak melihat mengapa orang lain lebih ke depan atau mempersoalkan mengapa saya di belakang. Setiap orang sudah ada rezeki mereka sesuai dengan apa yang diusahakan.
“Kalau saya kejar untuk popular dan glamor, saya akan berusaha ke arah itu.
“Tetapi, jika bakat dihargai penonton dan pengkarya seni juga menilai dan mengiktiraf hasil kerja saya itu sudah mencukupi.
“Apa saya miliki ini (ketinggian dan rupa paras) satu bonus dan anugerah buat saya.
“Lakonan bukan sekadar luaran, tetapi melibatkan bagaimana cara kita meyakinkan penonton bahawa karakter yang dibawa itu berjaya disampaikan dengan baik,” jelasnya bersemangat.
Ditanya tentang pandangannya apabila ada pihak mengatakan beberapa watak dilakonkan kelihatan mendatar dan seolah-olah sama dan tiada cabaran, Nabil terbuka dengan kritikan.
Tidak tersinggung dengan kata-kata sebegitu, Nabil terlebih dahulu menarik nafas panjang sebelum menyusun kata membidas kenyataan berkenaan.
“Saya mula berlakon sejak 2018. Sepanjang tempoh ini saya banyak belajar dan berusaha memperbaiki kekurangan. Jika ada yang fikir begitu, mungkin kerana mereka menonton drama saya membawakan watak seakan-akan sama.
“Sebenarnya saya ada banyak drama dan melakonkan pelbagai watak berbeza. Mungkin buat masa sekarang belum lagi kelihatan, tetapi saya percaya dengan peluang dan kesungguhan, insya-Allah khalayak akan melihat kualiti saya nanti.
“Jika ada yang berkata begitu secara berdepan, insya-Allah saya akan berikan dia beberapa senarai watak lakonan saya yang berbeza-beza sebelum ini,” katanya optimis.
Cukup tentang kerjaya, Nabil kemudian ditebak dengan soalan mengenai kehidupan peribadinya. Lumrah menjadi anak seni, setiap inci kehidupan mahu diselongkar peminat.
Bagaimanapun, Nabil tetap meletakkan garis halus sebagai batas pemisah antara peribadi dan karier. Katanya, gelaran selebriti itu bukan tiket segala privasi dilondehkan untuk tontonan umum.
Cukuplah sesekali dia mempamerkan sisi sebenar tentang dirinya dalam media sosial. Begitu juga dengan perkongsian yang memperlihatkan kemesraannya dengan kanak-kanak.
Disebabkan itu, ada yang mengatakan dia sudah sedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga sekali gus bergelar suami dan bapa.
“Persoalan sama ada bersedia atau tidak untuk berkahwin itu, susah untuk saya jawab sebab belum mempunyai kekasih. Selepas putus cinta pada 2020, saya memang solo.
“Kalau untuk memikul tanggungjawab, insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik. Sekarang, tolong carikan saya kekasih dahulu.
“Sejujurnya saya memang bersedia untuk menjalin hubungan serius dan ada sasaran untuk berumah tangga.
“Saya cuma tiada masa hendak bercinta semata-mata nak hilangkan bosan atau sunyi. Kalau bakal pasangan nanti mempunyai matlamat sama, saya memang bersedia,” terangnya.
Diminta membuka semula sejarah cinta lama, Nabil senang mengunci mulut. Cukup sekadar melepaskan tawa kecil, pintanya usahlah kisah lama diungkit semula.
Diusik sama ada pernah terjerat dengan kisah cinta lokasi, sekali lagi dia ketawa seraya mengakui, nasibnya tidak seindah rakan artis lain yang mempunyai kisah romansa di lokasi.
Ditanya juga, adakah dia kelak mengikut jejak ‘kembarnya’ Fattah Amin yang terpaut hati dengan heroin gandingan ketika sama-sama menjayakan drama Hero Seorang Cinderella.
Nabil bertegas, dia tidak pernah jatuh cinta dengan gandingannya di lokasi.
“Saya tidak kisah kalau ada orang samakan dengan Fattah Amin kerana bagi saya dia orang yang baik. Kami saling bekerjasama dalam drama Lelaki Melayu Terakhir dan saya sangat senang dapat bekerjasama dengan dia.
“Soal cinta lokasi agak menyedihkan buat saya. Saya tidak bernasib baik macam pelakon lain yang ada kisah cinta lokasi masing-masing.
Kalau ada pun cinta lokasi, itu sekadar bergurau atau suka-suka di set. Tiada yang serius,” ujarnya. – HIBGLAM