‘Kenapa perlu marah sedangkan saya yang beri duit’

MASALAH buli dalam kalangan pelajar sekolah bukan hal baharu dan masih menjadi permasalahan yang tiada kesudahan. 

Masing-masing ingin mempamerkan sifat dominan, pengaruh dan mempunyai kuasa berada di hierarki paling atas. Dengan kekuasaan yang dimiliki, mudah saja buat mereka mendapatkan penghormatan dan meraih apa diinginkan. 

Mungkin itu juga yang dilihat oleh penonton dalam filem Kahar: Kapla High Council apabila menyifatkan kekerasan dan keganasan melibatkan golongan belia menjadi intipati utama naskhah arahan Razaisyam Rashid itu. 

Bakal menemui penonton pada November depan, pelakon utama filem tersebut iaitu Aedy Ashraf bagaimanapun mempunyai pandangan tersendiri mengenai filem itu. 

Katanya, setiap filem mempunyai mesej yang ingin disampaikan kepada penonton. Begitu juga dengan filem tersebut yang tujuannya untuk memberi pengajaran agar remaja tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat seperti itu. 

Aedy membantu barisan pelakon dalam filem Kahar: Kapla High Council dari segi membuat latihan fizikal, pengambilan makanan seimbang dan rutin latihan di gimnasium bagi tujuan menjayakan babak aksi dengan baik. 

“Saya melihat filem ini sebagai satu medium ‘sekolah’ iaitu pendidikan kepada masyarakat. Tiada satu filem di dunia ini tidak mempunyai mesej dalam karya mereka. 

“Bagi saya, Kahar yang kita tahu ialah isu buli. Tetapi mesej sebenarnya yang cuba kami sampaikan ialah tentang hubungan (kekeluargaan dan persahabatan), didikan dan persekitaran sehingga mampu mempengaruhi berlakunya aktiviti buli. 

“Filem ini bukan untuk mengiyakan buli. Jujur saya sendiri tidak menggalakkan kejadian ini berlaku. Fokus kami adalah implikasi terhadap penglibatan dengan aktiviti seperti itu. Jika kita mengambil tindakan sebegitu (menjadi pembuli), apa yang akan berlaku nanti,” terang Aedy mengenai filem tersebut dengan penuh semangat. 

Mangsa buli 

Melihat kepada kematangan usia Aedy atau nama lengkapnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi yang kini sudah mencecah umur 30 tahun, dia mengatakan sebelum ini pernah menjadi mangsa buli di sekolah. 

Status sebagai pelakon kanak-kanak yang dikenali menerusi filem Tentang Bulan itu belum cukup untuk ‘menyelamatkan’ Aedy daripada menjadi mangsa buli. 

Mengimbau semula kejadian yang berlaku ketika usia 12 tahun itu, Aedy mengatakan sebagai kanak-kanak biasa dengan memiliki kelebihan wang tabungan sendiri, dia sering membawa duit belanja lebih ke sekolah. 

Tujuannya hanya satu, iaitu diberikan buat kawan-kawan bagi memenuhi permintaan mereka. Namun, nasib kurang baik menimpanya apabila suatu hari dia lupa untuk membawa wang belanja lebih ke sekolah. 

Aedy mempelajari teknik seni bela diri seperti kick boxing dan muay Thai sebagai salah satu usaha untuk mempersiapkan diri daripada berdepan dengan ancaman fizikal yang tidak diketahui.  – FARIZ RUSADIO 

“Saya ada berkawan dengan seorang sahabat ini, dia selalu minta RM2 dengan saya setiap hari. Kadangkala ada beberapa kawan-kawan lain turut minta benda sama. Jadi saya berikan saja kerana saya anggap itu hanya belanja kawan-kawan. 

“Tetapi pada suatu hari, saya tidak bawa duit pergi sekolah kemudian dia marah saya. Masa itu saya jadi pelik dan tertanya-tanya, mengapa dia perlu marah sedangkan sebelum ini saya selalu memberinya duit,” katanya. 

Kenangan pahit itu lantas menguatkan semangat Aedy untuk meneruskan kehidupan dan tidak lagi menoleh ke belakang. Bagi setiap daripada kita perlu mempunyai benteng yang dapat mempertahankan diri daripada ancaman. 

Begitu juga saat berhadapan dengan kejadian tidak diduga, setidak-tidaknya kita sudah mempersiapkan diri agar lebih bersedia berdepan dengan segala kemungkinan. 

“Apabila menjadi mangsa buli memang membuatkan saya rasa takut, sebab waktu itu saya masih budak. Namun, saya fikir ketakutan itu tidak membantu saya ke mana-mana. 

“Disebabkan itu saya mengambil pendekatan positif dengan mempelajari seni mempertahankan diri supaya saya lebih berani berdepan dengan situasi mencabar. Apa-apa pun, mempersiapkan diri dengan perkara asas daripada tangan kosong. Setidak-tidaknya kita tahu apa yang ingin dilakukan jika keadaan mendesak,” kongsi Aedy yang mempelajari beberapa seni bela diri antaranya kick boxing dan muay Thai. 

‘Korban’ diri 

Sambung bercerita tentang filem baharunya itu, Aedy bertanggungjawab untuk membantu bakat-bakat baharu dalam filem terbabit. 

Berada sebaris dengan pelakon yang sedang meningkat naik seperti Sky Iskandar, Amir Ahnaf, Nadhir Nasar, Fazziq Muqris, Thompson Goh dan Ameer Asyraf membuatkan Aedy ingin membantu ‘adik-adiknya’ agar tidak berasa kecewa setelah melihat karya tersebut di layar perak. 

“Kebanyakan mereka pertama kali berlakon dan juga pertama kali melakonkan babak aksi. Jadi, saya dengan sedikit pengalaman dalam melakonkan babak aksi ingin berkongsi dengan mereka bagaimana untuk menjayakan babak tersebut. 

“Saya sendiri pernah menjadi pelakon baharu dan sudah merasai sendiri fasa tersebut. Sebelum ini jika ingin terlibat dalam filem aksi, saya banyak membuat persiapan sendiri bermula daripada segi penjagaan makanan, senaman fizikal dan kemahiran bela diri. Banyak yang saya usaha sendiri di mana produksi tidak sediakan semua itu. 

PERNAH menjadi mangsa buli, Aedy menasihatkan agar tidak menjadikan tindakan itu sebagai satu budaya apatah lagi menggalakkannya.

“Jadi untuk filem ini saya tidak mahu mereka melalui fasa itu dan saya berusaha untuk membantu mereka. Saya tolong mereka untuk membuat persiapan seperti latihan di gim, diet seimbang dan saya juga akan kejutkan mereka bangun pagi,” jelasnya. 

Tambahnya hubungan akrab atau semangat brotherhood menambahkan semangatnya untuk membantu mereka memberikan yang terbaik sekali gus memberikan portfolio yang kukuh buat mereka. 

“Bagi saya berlakon filem itu lain, melakonkan babak aksi pula satu usaha yang berbeza. Ada banyak perkara yang perlu ambil kira saat melakonkan babak aksi. Jadi sebagai abang kepada mereka, saya ingin mereka sentiasa berikan yang terbaik ketika berlakon. 

“Sejujurnya saya sangat seronok sepanjang menjalani filem ini (sekitar lebih sebulan) kerana bagi saya mereka semua ini mempunyai kemahiran tinggi dan matang dalam lakonan,” ujarnya menggulung perbualan. 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok