BUKAN hanya popular menerusi lagu-lagu dendangannya, sisi peribadi penyanyi bersuara unik, Sufian Suhaimi juga diikut rapat peminat. Apatah lagi dia kini masih solo dan sering terpalit kisah duka saat bercinta.
Tidak melatah meski disua soal kekasih, seperti insan lain, jejaka berusia 31 tahun itu mengakui melalui fasa turun naik dalam setiap perhubungan yang terjalin.
“Saya macam orang lain, bercinta dan pernah putus, namun jika orang kata saya akan menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat, maka jawapan saya ialah tidak.
Saya masih lagi dalam fasa mengenali hati budi si dia, setiap perhubungan menuntut proses yang pasti mengambil masa bukan sehari dua.
“Jodoh rahsia Tuhan, saya pun tidak tahu bagaimana pengakhiran hubungan ini, saya ambil langkah bersederhana dengan tidak mahu terlalu banyak berkongsi,” katanya yang tampil dengan single terbaharu berjudul Menggenggam Bahagia.
Pada masa sama, penyanyi asal Mersing, Johor itu mengakui sering dilemparkan kata-kata kurang enak memperlekehkan teman wanitanya dengan perniagaan bantal zikir yang diusahakannya gara-gara tidak berhijab.
Tidak menafikan perkara tersebut, Sufian menganggap perniagaan yang diusahakannya sebagai antara pendekatan dakwahnya kepada orang ramai.
Bagaimanapun jelas Sufian segala komen serta teguran netizen dianggap sebagai cara memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
“Apa yang saya buat cuma mahu berkongsi kebaikan melalui zikir dan selawat. Itu perjuangan saya untuk berdakwah dan dalam masa sama mencuba sesuatu yang baru.
Saya tahu ada orang kaitkan bantal zikir itu dengan penampilan teman wanita saya. Saya ambil maklum terhadap komen ramai.
“Saya terima nasihat dan teguran kerana ada yang betul, tetapi jika kurang tepat saya tolak,” jelasnya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my