BUKAN ketagih pengiktirafan, namun menerusi pengiktirafanlah seseorang itu membuktikan ilmu dan kredibiliti dimiliki.
Itu yang dirasai anak seni handalan Datuk Fauziah Nawi saat menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kategori Seni Lakon Teater oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Katanya, meskipun sudah mencecah usia 71 tahun, dia tetap agresif mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran lakonan.
“Saya menerima tawaran ini pada tahun lalu. Syukur segalanya sudah selesai dan sijil ini secara tidak langsung membuka peluang untuk tawaran kerja melibatkan sektor kerajaan.
Bukan sahaja berpengalaman lebih empat dekad dalam industri, tetapi sekarang saya sudah ada bukti yang mengesahkan bakat lakonan saya,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya 2024 di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) baru-baru ini.
Tidak sendirian mewakili anak seni, penyanyi yang terkenal dengan panggilan Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris turut tersenarai sebagai penerima sijil dalam majlis sama.
Meluahkan rasa syukur apabila usaha kerasnya berhasil, Noraniza turut menggalakkan barisan anak seni terutama penari dapat mengikuti kursus -kursus yang ditawarkan JKKN.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana diberi peluang ini. Dengan ini penglibatan saya dalam bidang nyanyian sepanjang 40 tahun berbaloi.
“Saya amat menggalakkan untuk golongan belia yang aktif dalam bidang seni seperti penari dapat menyertai program anjuran JKNN ini.
“Sijil ini juga dapat membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan tidak mengira sama ada dalam atau luar negara,” katanya selaku penerima SKM kategori Nyanyian.
Sementara itu Ketua Pengarah JKKN Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, majlis konvokesyen tersebut merupakan penganjuran kali kedua selepas dilaksanakan pada 2022.
Jelasnya, barisan selebiriti yang menerima pentauliahan dalam majlis tersebut dinilai berdasarkan pengalaman dan sumbangan kepada industri seni hiburan.
“Seramai 239 graduan telah berjaya menamatkan penilaian atau kursus yang telah mereka hadiri.
Sijil kemahiran di bawah JKKN dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JKM) memberi fokus kepada empat bidang utama iaitu tari, muzik, teater dan pengurusan pentas.
“Sesetengah pensijilan tidak perlu pendidikan akademik secara formal.
“Sebagai contoh penggiat yang sudah lebih 10 atau 20 tahun dalam industri akan dinilai berdasarkan pensijilan pencapaian terdahulu. Kami mengambil kira pengalaman, penglibatan dan sumbangan mereka terhadap industri termasuk negara.
“Berbeza dengan peserta lain yang perlu mengikuti proses pembelajaran rasmi berdasarkan jumlah jam tertentu sebelum dinilai berdasarkan ujian bertulis dan fizikal,” terangnya.
Selain Fauziah dan Noraniza, penyanyi veteran Roslan Madun turut tersenarai sebagai penerima SKM kategori Nyanyian. – HIBGLAM