Saya hanya nak jadi ibu – Leona sedia tinggalkan kerjaya ‘influencer’

PEMPENGARUH terkenal Kasih Iris Leona memilih untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa apabila mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata.

Kata Leona, dibesarkan ibunya, Chempaka Emalin Pahamin membuatkannya melihat insan istimewa terbabit sebagai contoh terbaik dalam memastikan seisi keluarga terjaga.

Saya hanya nak menjadi seorang ibu. Saya nak jadi emak seperti ibu saya. Mungkin ketika itu saya tidak lagi menjadi seorang ‘influencer’.

“Dari saya kecil bapa saya selalu sibuk dengan kerja, ‘shooting’ dan sebagainya tetapi ibu saya sentiasa ada bersama kami.

Bukanlah kerana bapa saya sengaja tiada, tapi dia terpaksa bekerja. Jadi atas sebab itu saya sangat mengidolakan ibu saya,” katanya ketika diundang dalam sebuah audio siar.

Anak bongsu kepada pelakon Azhar Sulaiman itu turut mengakui telah memaklumkan keluarganya hasrat mahu berkahwin selepas tamat pengajian nanti.

Bagaimanapun, wanita berusia 22 tahun yang bakal tamat  belajar tahun depan masih belum mempunyai kekasih mahupun calon suami.

Sejujurnya saya sudah beritahu ibu bapa saya mahu kahwin selepas habis belajar di universiti nanti.

“Ikutkan saya akan habis pengajian tahun hadapan tetapi sampai sekarang masih belum ada sesiapa pun lagi.

Tapi saya selalu berfikir saya sudah sedia nak jadi seorang isteri dan ibu bahkan saya tak kisah kahwin pada usia muda,” ujarnya .

Sebelum ini Leona pernah membuat pengakuan belum ada kekasih kerana meletakkan piawaian tinggi terhadap calon suami.

Begitupun, bukan paras rupa dijadikan ukuran, sebaliknya tegas Leona, dia lebih mengutamakan personaliti lelaki pilihan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok