Sisi ‘luar kotak’ Ratu Rock Ella

TIDAK perlu mukadimah, sebut sahaja Ella, nama ratu rock itu satu jenama yang membuat peminat tegar enggan melepaskan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah persembahan ‘live’ figura hebat tersebut.

Sama seperti beberapa siri persembahan mega sebelum ini yang dipenuhi penonton, Konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia di Plenary Hall, KLCC turut mendapat sambutan hangat apabila lebih 3,000 peminat memenuhi dewan itu baru-baru ini.

Umpama magnet menarik penonton memenuhi premis konsertnya, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin terus ampuh mengukuhkan reputasi sebagai penghibur.

Pada usia 58 tahun, beliau masih mampu mendendangkan seleksi bernada tinggi bahkan ligat di pentas bagai tiada lelah.

BERDURASI tiga jam, Ella menyampaikan hampir 30 lagu termasuk yang belum pernah dinyanyikan dalam mana-mana konsert sebelum ini.

Berlangsung tepat jam 8.50 malam, momentum persembahan berdurasi tiga jam yang diketuai Datuk Acis sebagai pengarah muzik dengan diiringi pemuzik orkestra memacu momentum sehingga ke akhir acara.

Hampir 30 lagu dibawakan tanpa henti termasuk yang diakui penghibur berpengalaman lebih tiga dekad itu belum pernah disampaikan dalam mana-mana konsertnya sebelum ini.

Antaranya adalah Belenggu, Itulah Saya, Sujud, Puisi Hamba selain Cinta Selembut Sutera, Kesal, Dua Insan Bercinta, Pedih, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Layar Impian, Tiada Tangis Lagi, Pengemis Cinta dan Sembilu.

ELLA mengundang suaminya, Azhar Husaini Ghazali berduet lagu Mendung Tak Bererti Hujan yang juga ‘tribute’ kepada penyanyi Indonesia, Deddy Dores.

Ella tidak ketinggalan mengundang suaminya, Azhar Husaini Ghazali berduet menerusi lagu Mendung Tak Bererti Hujan yang juga ‘tribute’ kepada penyanyi Indonesia, Deddy Dores.

Ella merakamkan lagu itu bersama penghibur terbabit pada 1989, malah menurutnya karya terbabit mempunyai kaitan kisah percintaannya dengan suami tercinta.

Tampil dengan kelainan, Dewan Plenary menyaksikan bekas vokalis Ella & The Boys itu mengalunkan lagu asli Jauh Di Mata, Sayang Di Sayang dan Keroncong Kemayoran bersama Haziq Rosebi.

“Pemilihan Haziq sebagai penyanyi jemputan kerana saya memang meminatinya. Haziq miliki segala-galanya sebagai penyanyi tradisional.

“Haziq juga antara penyanyi lagu tradisional terbaik dan bersuara sedap,” katanya dalam sidang media usai konsert.
Haziq turut menghiburkan penonton secara solo menerusi lagu Lemak Manis yang membuatkan khalayak turut bergoyang di kerusi masing-masing.

ELLA berjaya memukau hati penonton menerusi lagu Keroncong Kemayoran bersama Haziq Rosebi.

Penghargaan terhadap barisan seniman juga tidak dilupakan apabila lagu Legenda diperdengarkan yang turut dilatari klip video wajah beberapa penghibur terkenal tanah air yang sudah pergi menyahut seruan Ilahi.

Antaranya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, S Shamsuddin, Datuk Aziz Satar, Tan Sri SM Salim, Datuk M Daud Kilau, Datuk Ahmad Jais, Datuk Nassier Wahab, Mamat Khalid, pemain gitar Lefthanded, Samad, Siti Sarah Raisuddin dan Jay Jay.

Menurut Ella, segmen tersebut memang menjadi permintaan awalnya bagi menghargai penggiat seni yang banyak berjasa kepada industri hiburan tanah air.

“Mereka adalah insan seni yang menghiburkan kita dari awal pembabitan dalam industri hinggalah menghembuskan nafas terakhir,” ujarnya.

Lebih istimewa, Ella turun pentas untuk mengundang penyanyi asal lagu Legenda iaitu Datuk Sheila Majid berduet dengannya.

Sebagai tanda solidariti terhadap Palestin, Ella mendendangkan lagu Bendera Damai dalam segmen khas.

Sudah pasti dalam tawa dan kegembiraan penyanyi kesayangan ramai itu tidak lupa akan tanggungjawab sosialnya berjihad menerusi nyanyian.

Pantas masa berlalu, selain seleksi wajib iaitu Gemilang, Ella menyelitkan segmen patriotik dengan menyampaikan lagu Standing In The Eyes Of The World dengan latar belakang visual memaparkan momen istimewa barisan atlet negara.

Nyata bukan sekadar vokal dan persembahan, keperibadiannya yang manja turut menjadikannya unik sehingga kekal disayangi peminat termasuk generasi baharu.

Mengikuti setiap persembahan secara langsung, mereka yang membesar dengan lagunya sejak bersama band The Boys tentu sahaja tidak berkira dan sanggup berhabis untuk membeli tiket. Soal harga bukan satu kekangan bagi pencinta setia Ella kerana apa yang lebih penting adalah dapat menyaksikan persembahannya.

Buktinya, sepanjang dua hari Konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia berlangsung di lokasi sama pada 9 dan 11 Ogos lalu, tiket ‘sold out’.

Atas kejayaan itu, RockQueen yang juga syarikat milik Ella bersama rakan penganjur bakal ‘membawa’ konsert tersebut ke Singapura pada 12 Oktober depan. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok